Bagaikan mimpi jadi kenyataan, penyanyi Malaysia, Siti Nordiana tidak menyangka dia bakal berkongsi pentas dengan bintang Bollywood terkenal iaitu Udit Narayan.
Bukan hanya muncul sebagai penyanyi jemputan malah Siti Nordiana atau mesra disapa Nana, 41, juga bakal berduet dengan Udit sempena Konsert A Lovely Night with Udit Narayan, lapor mStar Online.
Mengakui meminati Udit sejak kecil, bagi Nana ini merupakan peluang keemasan apabila diberi kepercayaan untuk membuat persembahan atas satu pentas sama.
“Pada awalnya saya sangka hanya diberi peluang untuk persembahan pembukaan, tetapi rupa-rupa berduet dengan penyanyi idola saya.
“Saya terkesima dan tak tahu nak cakap apa. Udit merupakan ikon lagu-lagu Bollywood dan tak dinafikan saya membesar dengan nyanyiannya.

“Saya tahu kebanyakan lagu filem Bollywood terutama lakonan Shah Rukh Khan adalah suara penyanyi legenda ini,” ujarnya.
Konsert tersebut bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 26 April nanti.
Dalam keterujaan Nana akui ia bukan satu cabaran mudah untuk merealisasikan persembahan tersebut.
Meskipun gementar namun sebagai penyanyi dia harus melakukan yang terbaik agar tidak mengecewakan peminat yang hadir.
“Saya jadi gementar sebab dia penyanyi yang sangat berbakat dan vokalnya memang tiada tandingan walaupun sudah berusia.
“Tidak dinafikan ada juga kerisauan untuk membuat persembahan itu nanti. Namun saya pasti akan buat yang terbaik,” ujarnya. – Agensi