Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza antara 500 Muslim berpengaruh 10 tahun berturut-turut

    Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa syukur dan terharu apabila namanya sekali lagi tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2025.

    Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, penghargaan tersebut memotivasikan dirinya untuk lebih giat menyumbang kepada perkembangan dunia Islam.

    “Alhamdulillah saya bersyukur dan terharu apabila tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims. Ini satu penghargaan yang membuatkan saya terfikir apa lagi boleh dilakukan untuk menyumbang kepada agama dan dunia Islam walaupun dalam kategori seni,” katanya kepada mStar.

    Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media konsert The Journey of Music yang diadakan di ibu negara pada petang kelmarin.

    Dalam pada itu, Siti yakin pengiktirafan tersebut turut diberikan atas komitmennya dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan menerusi Yayasan Nurjiwa. Jelas Siti, yayasan yang dibangunkan bersama suami iaitu Datuk Seri Khalid Jiwa turut giat dalam misi kemanusiaan di bumi Palestin.

    “Saya rasa ia ada bersangkut paut dengan apa yang saya dan suami buat di Yayasan Nurjiwa. Kami memang bekerja keras membantu mangsa-mangsa di Palestin dan juga rakyat Malaysia yang terkesan dengan bencana alam,” ujarnya.

    Mengulas mengenai bantuan kepada mangsa keganasan oleh Zionis, Siti memberitahu yayasan sehingga kini masih meneruskan misi berbentuk pemberian makanan dan barang keperluan bagi penduduk di Semenanjung Gaza.

    “Saya ada tanggungjawab di sana untuk anak-anak angkat saya. Yayasan Nurjiwa pun aktif di Palestin di mana guru-guru yang tak dapat mengajar sukarela mengedarkan makanan setiap hari. Kalau tengok di Instagram macam mana kami setiap hari beri sumbangan makanan kepada rakyat Gaza,” katanya.

    Untuk rekod, ini adalah tahun kesepuluh Siti tersenarai dalam The Muslim 500: The World’s 500 Most Influential Muslims. bagi kategori seni dan budaya sejak 2016.

    Dalam perkembangan lain, Siti bakal berkongsi pentas bersama Judika menerusi konsert The Journey of Sound yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 14 Disember depan. Berkongsi keterujaannya, Siti menyifatkan peluang dapat disatukan dengan Judika atas satu pentas sama sebagai sebuah rezeki memandangkan dia turut mengagumi penyanyi asal Indonesia tersebut. – Agensi

    Sumbangan Siti dalam bidang kemanusiaan melayakkan dia mendapat pengiktirafan. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda