Saturday, March 22, 2025
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza akui silap ‘live’ tidak kena tempat

    Biduanita Negara, Datuk Siti Nurhaliza. – Agensi

    Biduanita negara Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 46, mendedahkan kesilapannya menggunakan bilik anak keduanya, Muhammad Afwa untuk sesi ‘live’ di TikTok baru-baru ini, menjadi punca Afwa bertindak menutup muzik. 

    Gelagat Afwa itu mengejutkan Siti yang sedang asyik menyanyikan lagu Nazam Lebaran bersama anak sulungnya, Siti Aafiyah sehingga membuatkan mereka ketawa. Malah pelayar TikTok turut terhibur dengan apa yang berlaku, menurut mStar.

    “Dia tak faham. Okey dia tahu mak dia memekak saja. Bising…dia nak tidur, dia kata. Afwa ini dia lain macam sikit. 

    “Sebenarnya saya yang salah. Saya buat ‘live’ hari tu di bilik dia. Selalunya tengah hari dia kena nap (tidur sekejap) dekat bilik dia. Saya dah gunakan bilik dia untuk buat ‘live’.

    “Jadi dia mudah marah sebab dia dah mengantuk sangat, ibu tak stop-stop lagi. Dia dah keluar masuk keluar masuk bilik itu. Kami kunci pintu dulu tapi dia ketuk-ketuk,” katanya ditemui pada Majlis Silaturahim Ramadan & Berbuka Puasa anjuran Yayasan Nurjiwa bekerjasama dengan Yayasan Prihatin & Cuckoo di sini malam tadi.

    Siti berkata, dia cuba mengumpan Afwa dengan memberikan iPad dan meneruskan sesi ‘live’ . 

    “Sekali Afwa dapat buka pintu tu, dia masuk dengan iPad tu dia macam ni je (tekan) tup. Dia selamba saja masuk. Tutup itu, dia kata ibu bisinglah. 

    “Itu yang terjadi. Afwa ni orang kata anak kedua ini memang lain macam sikit. Tapi dia memang… sebenarnya Afwa ini dia ada kelakar dia sikit. Kadang-kadang kat rumah pun dia yang mencuit hati saya lah. 

    “Kakak dia serius sikit. Kakak dia garang,” katanya sambil ketawa bercerita gelagat anak keduanya ini. 

    Siti turut mendedahkan Afwa juga meminati kereta sejak kecil dan kenal jenama-jenama kereta. 

    “Saya memang tak tahu, mungkin turun dari ayah dia kot. Dia minat kereta dan hafal logo. Kalau kereta kat lebuh raya tu dia tahu itu Porsche, itu Lamborghini, itu Mercedes. Dia pantang nampak kereta,” katanya. 

    Sementara itu, menerusi program malam tadi, Siti, Yayasan Prihatin dan Cuckoo menyantuni anak-anak yatim, penggiat seni, bekas pengamal media dan bekas Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman. 

    Dia turut melancarkan program Kembara Ilmu Jiwa Prihatin dan program Sedekah Nurjiwa bagi membuka peluang kepada orang ramai menyertai misi amal mereka. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda