Setelah rekod jumlah penonton yang dilakar hampir 20 tahun berjaya diatasi oleh kumpulan Rock luar negara iaitu Coldplay, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza memberi bayangan bakal mengadakan sekali lagi konsert berskala besar di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Memetik dari mStar, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata, konsert yang ingin menghimpunkan lebih daripada 75,000 penonton itu berkemungkinan akan dilakukan sebelum beliau bersara daripada dunia seni.
“Sedih dan terharu baca tulisan wartawan Kosmo. Mungkin boleh jadi kenyataan atau mungkin tidak ya?
“Kalau nak buat di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali lagi, mungkin sebelum saya bersara ye. Biar jadi kenangan terindah buat semua,” katanya.
Siti memaklumkan perkara itu dalam satu hantaran di laman X (Twitter) miliknya pada kelmarin.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata peminat meluahkan rasa teruja untuk menghadiri konsert bakal dianjurkan itu.
Bagaimanapun, terdapat juga peminat mengharapkan supaya ungkapan bersara yang dimaklumkan Siti itu tidak menjadi kenyataan.
“Janganlah cerita fasal bersara lagi. Kami semua tidak bersedia untuk kehilangan Siti…
“Noo… Jangan bersara lagi. Kami masih nak tengok Siti Nurhaliza menyanyi.
“Tolong jangan bersara. Konsert Siti saya tidak pernah datang lagi walaupun sekali,” kata peminat.
Sebelum ini, media melaporkan band ikonik yang menggegarkan SNBJ menerusi konsert Music Of The Spheres World Tour telah menghimpunkan seramai 75,000 peminat.
Ia sekaligus telah memecahkan rekod yang sebelum ini dipegang oleh Siti Nurhaliza ketika menjayakan konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour pada 2004 di lokasi sama yang mengumpulkan seramai 70,000 penonton.
Lebih membanggakan apabila Siti Nurhaliza Fantasia Tour itu merupakan satu-satunya konsert tempatan yang direkodkan pernah menganjurkan konsert di SNBJ dengan jumlah peminat yang ramai. – Agensi