Yayasan Nurjiwa buat julung kalinya memperkenalkan insentif RM500 kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh straight A dalam semua mata pelajaran.
Pengasasnya, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, usaha terbabit menunjukkan komitmen pihaknya dalam memperkasa pendidikan untuk anak muda melalui sokongan moral dan kebajikan.
Sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan akademik, Yayasan Nurjiwa turut bekerjasama dengan pusat tuisyen terkemuka PTTI yang membabitkan seramai 401 pelajar menerima insentif ini yang keseluruhannya berjumlah RM200,500.
Penghargaan buat kali pertama kepada pelajar cemerlang ini merupakan satu inisiatif bagi menyuntik semangat dalam kalangan pelajar yang sedang berjuang dalam akademik.
“Saya rasa pelajar ini mempunyai semangat luar biasa dalam pembelajaran. Bila ada inisiatif sebegini, mereka lebih berkobar-kobar untuk terus berusaha,” katanya ketika ditemui Kosmo semasa Anugerah Apresiasi PTTI, kelmarin.

Menurutnya, program terbabit antara usaha yayasan dalam menyokong pembangunan pendidikan dan motivasi pelajar.
“Ini merupakan kali pertama kami melaksanakan inisiatif seumpama ini.Selain pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, Yayasan Nurjiwa turut menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar daripada keluarga B40 di universiti terpilih,” katanya.
Tambahnya, “Bantuan ini telah berjalan sejak beberapa tahun lalu. Setiap hari, kami menyediakan makanan kepada pelajar-pelajar B40. Kadangkala, sehingga 100 pelajar dipilih untuk menerima bantuan ini.”
Beliau turut menjelaskan program bantuan makanan itu merangkumi rumah anak yatim dan pelajar-pelajar tersenarai yang dikenal pasti memerlukan bantuan.
Kami faham terdapat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan. – Agensi