Penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin kembali berkongsi pentas dengan penerbit dan komposer terkenal, David Foster menerusi Konsert Eksklusif ‘Hitman: David Foster and Friends Asia Tour 2023’ di Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, di sini, pada 7 Ogos depan.
Konsert itu turut menampilkan penyanyi antarabangsa yang lain seperti Michael Bolton, Peabo Bryson, Loren Allred dan Katharine McPhee, merupakan anjuran sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan kurang berkemampuan, Yayasan Prihatin Nasional (Prihatin) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent.
Menjadi satu-satunya artis jemputan tanah air, Siti Nurhaliza, 44, bagaimanapun tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi dan berazam memberikan sebuah persembahan terbaik.
“Kali pertama, saya bekerjasama dengan David dalam satu persembahan eksklusif, sembilan tahun lepas. Saya berdoa ia bukanlah kerjasama pertama dan terakhir. Selepas itu, saya dipelawa beberapa kali membuat persembahan bersama di Indonesia, tetapi rezeki tidak menyebelahi saya.
“Saya bersyukur dan rasa bertuah malah percaya ini adalah platform terbaik menunjukkan bakat apatah lagi dalam kebangkitan ramai penyanyi muda yang bagus dan berbakat, pasukan pengurusan David tetap memilih saya,” katanya pada sidang media mengenai konsert berkenaan baru-baru ini.
Dalam konsert itu, pelantun lagu Anta Permana ini bakal membawakan lagu ciptaan komposer berkenaan dan satu lagu popularnya.
“Berdiri satu pentas terutama di bawah pimpinan David adalah impian setiap artis. Jadi, apabila saya lihat senarai barisan artis antarabangsa yang terlibat, ia membuatkan saya rasa kerdil,” katanya. – Agensi