Diiktiraf sebagai penerima Anugerah Biduan Negara 2024, penyanyi nombor satu Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin beriltizam mahu melakukan yang terbaik untuk membawa seni negara ke peringkat lebih baik pada masa akan datang.
Menganggap anugerah berkenaan sebagai antara pengiktirafan terbesar dalam kerjaya seninya, penyanyi berpengalaman hampir 30 tahun itu juga menyifatkan anugerah itu sebagai mewakili semua anak seni yang lain.
“Anugerah ini sangat istimewa kerana ia Anugerah Seni Negara dan anugerah ini melambangkan bukan kejayaan diri saya (sahaja) sebaliknya anak seni di luar sana.
“Dan saya percaya pada masa akan datang anak seni yang ada sekarang ni juga boleh mendapat pengiktirafan seperti saya selagi dia bekerja keras dan tahu apa matlamat dalam industri,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Seni Negara, semalam.
Siti Nurhaliza mula menceburi industri seni pada 1995 dan sepanjang penglibatannya beliau memenangi lebih 300 anugerah dari dalam dan luar negara antaranya 42 anugerah pada Anugerah Industri Muzik, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (25) , Anugerah Planet Muzik (28), MTV Asia Award (empat) selain pengiktirafan Malaysia Book Of Records sebanyak dua kali.
Beliau juga telah merakamkan lebih 200 lagu menerusi 20 album, mengadakan lebih 60 konsert dalam dan luar negara serta disenaraikan sebagai 500 Muslim Berpengaruh Dunia 10 tahun berturut-turut selain pernah mengadakan konsert solo di Royal Albert Hall London pada 2005. – Bernama