Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza gembira ramai penyanyi lancar lagu raya baharu

    Muncul dengan lagu raya berjudul Raya Nak Ke Mana? Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata karya baharunya itu bukan untuk bersaing dengan penyanyi lain.

    Kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dia hanya mahu menjadi sebahagian daripada artis yang memeriahkan sambutan hari raya dengan mengekalkan konsep lagu Aidilfitri seperti sebelum ini.

    “Saya bukan mahu bersaing, kita hanya mahu memeriahkan sahaja. Mungkin sebab saya nampak senior sikit.

    “Lagu-lagu raya saya sebelum ini menjadi siulan, jadi harapan orang terhadap lagu raya saya yang baru ini tinggi.

    “Tapi di hati saya, saya bukan nak bersaing dengan anak-anak muda. Mereka ada kelebihan sendiri. Saya nak mengekalkan sahaja konsep lagu raya yang saya bawakan sebelum ini,” katanya kepada mStar.

    Dalam pada itu, Siti meluahkan rasa bangga melihat lebih ramai penyanyi yang menghasilkan lagu raya untuk sambutan Aidilfitri kali ini.

    Kongsi Siti, situasi ini membuktikan barisan penyanyi mampu berkarya dengan baik selain memberi banyak pilihan kepada pendengar.

    “Bagi saya bagus (banyak lagu raya) sebab semua orang boleh berkarya, kalau dulu kita boleh dengar lagu raya ni tak semeriah sekarang.

    “Sekarang ini kalau kita lihat banyak lagu raya, maknanya semua artis berkarya dengan baik dan mahu memeriahkan hari raya dengan lagu-lagu baru.

    “Jadi peminat banyak pilihan, mereka boleh dengar banyak lagu raya daripada pelbagai genre muzik,” ujarnya.

    Raya Nak Ke Mana? merupakan lagu raya berentak zapin terbitan SN Legacy Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd hasil karya ciptaan penyanyi Aisha Retno dan RADi.

    Siti juga pernah popular menerusi lagu raya berjudul Sesuci Lebaran, Anugerah Aidilfitri, Nazam Lebaran dan Lip Lap Raya. – Agensi

     Siti tumpang gembira melihat ramai penyanyi melancarkan lagu raya baharu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda