Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak pernah terlibat dalam sebarang pertandingan yang menjanjikan wang tunai sebagai habuan.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 45, memberi peringatan kepada peminat agar tidak terpedaya dengan tipu sindiket penipuan atau scammer.
“Tolong sampaikan, sebarkan, nasihat dan maklumkan kepada kaum keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan anda bahawa saya tidak pernah membuat pertandingan atau dengan tujuan memberi wang tunai kepada sesiapa. Jangan terpedaya apabila menerima mesej, panggilan video dan sebagainya,” katanya.
Siti berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya kelmarin.
Menerusi perkongsian dibuat, Siti turut memuat naik video memaparkan rakaman suara tiruan miliknya yang digunakan untuk tujuan penipuan.
Kata Siti modus operandi scammer menggunakan nama, akaun media sosial, gambar dan suaranya menerusi teknologi artificial intelligence atau AI.
“Palsu, jangan percaya scammer. Ini adalah salah contoh kes cubaan menipu menggunakan nama, akaun media sosial ada nama dan gambar saya. Siap letak suara AI untuk yakinkan orang ramai dan selebihnya ambil mana-mana video live saya dengan tujuan nak perangkap supaya orang percaya,” ujarnya. – Agensi
