Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil beri penjelasan berhubung dakwaan segelintir warganet yang mengatakan dirinya ‘rosak’ gara-gara kandungan santai dan lucu yang dimuat naik di platform TikTok.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, berkata, istilah ‘rosak’ yang digunakan sekadar bahasa gurauan generasi muda dan tidak wajar disalahertikan.
Kata Siti, kandungan tersebut juga bertujuan untuk menceriakan pengikut selain memaparkan sisi berbeza dirinya yang mungkin belum pernah dilihat oleh peminat.
“Perkataan ‘rosak’ itu hanya bahasa anak-anak sekarang. Bila nampak saya dah macam random (pelik) mereka cakap saya ‘rosak’, tapi mereka tak bermaksud begitu. Saya hanya menceriakan semua pengikut dan memberikan kandungan-kandungan santai sebab di TikTok tak boleh terlalu serius.
“Kalau menjual (produk) sangat pun mereka tak nak. Jadi saya mahu raih tontonan video yang tinggi. Ia juga merupakan satu sisi lain Siti Nurhaliza yang orang tak pernah tengok. Sesekali saya buatlah,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Siti turut memberitahu TikTok antara platform penting baginya bukan hanya untuk berinteraksi dengan peminat tetapi sebagai strategi pemasaran untuk produk jualannya.
“Kalau di TikTok memang saya selalu update kandungan, ada masa saya balas komen peminat. Ikut perkembangan semasa. Itu pun salah satu teknik untuk saya mendapat tontonan tinggi di TikTok. Ia sangat penting sebab saya menjual di platform itu. Saya tak aktif sangat di X, tapi kalau Instagram dan TikTok saya suka sebab suasananya berbeza,” ujarnya.
Ditanya mengenai reaksi suaminya iaitu Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa tentang perkongsian video tular baru-baru ini, Siti menjelaskan dia sudah memaklumkan tujuan hantaran itu dibuat hanyalah sekadar hiburan biasa.
“Saya tak tahu Datuk K (suami) tengok ke tak. Tapi saya ada tunjuk dekat dia, sebelum dia cakap apa-apa saya beritahu dulu. Dia tanya siapa budak lelaki dalam video itu, saya kata entahlah. Saja edit suka-suka untuk tarik perhatian penonton.
“Kadang-kadang pasukan saya sendiri yang minta saya buat kandungan-kandungan seperti ini (lucu). Saya ikut juga permintaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, Siti mencuri perhatian ramai apabila lagaknya menggunakan ‘filter’ di TikTok menjadi perhatian ramai.
Terbaharu, penyanyi lagu Nirmala itu memuat naik video memaparkan aksi lucu berdepan situasi bertemu dengan bekas kekasih di dalam lif. Video tersebut telah mendapat 6 juta tontonan dengan lebih 11,000 komen warganet. – Agensi


