Prihatin dengan nasib anak-anak Palestin, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza terus menghulurkan bantuan dalam apa jua cara yang termampu.
Sebagai salah satu usaha kecil yang dilakukan, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, melalui pertubuhan Yayasan Nurjiwa miliknya menyalurkan makanan buat anak-anak di sana.
“Syukur kami dapat terus menyalurkan sumbangan kepada saudara kita di Palestin terutamanya menyediakan makanan kepada mereka setiap hari.
“Meskipun makanan masih dalam bentuk bijirin dan kekacang, makanan disalurkan secara berterusan dua kali sehari menerusi wakil kami di sana,” katanya.
Siti ditemui ketika majlis penyerahan sumbangan bersama Yayasan Nurjiwa anjuran syarikat Inayah Beauty yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat, menurut laporan media.
Tambah beliau, usaha berkenaan juga dijayakan atas bantuan dan sokongan rakyat negara ini terhadap penduduk di Palestin yang sedang berdepan ujian perang.
“Yayasan memang akan kongsikan setiap aktiviti yang kami lakukan kepada orang ramai dan ia tidak cuma di Palestin sahaja. Kami juga turut membantu mana-mana pihak yang memerlukan dalam negara,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau juga amat berbesar hati apabila mendapat kerjasama pihak Inayah Beauty yang sudi menghulurkan bantuan berjumlah RM300,000 bagi membina masjid di sana.
“Projek membaik pulih masjid ini telah dijalankan pada Ramadan lalu. Dapatlah penduduk di sana berasa selesa untuk menunaikan solat,” jelasnya. – Agensi
