Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza terbuka melakukan perbincangan dengan Suria Records (SRC) berhubung 11 buah lagu nyanyiannya yang masih dalam simpanan bekas syarikat rakamannya itu.
Kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dia percaya kesemua karya tersebut mempunyai kelebihan tersendiri namun bakal kedengaran berbeza memandangkan ia sudah lama dalam simpanan.
“Saya tahu ada lagu-lagu yang belum dilancarkan dan kita boleh duduk berbincang kerana SRC juga bagaikan keluarga bagi saya.
“Hendak rakam semula kesemua lagu-lagu itu pun perlu ada perbincangan sebab ia mengambil masa,” katanya kepada mStar.
Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran OST filem Telaga Suriram nyanyiannya berjudul Sesal yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur kelmarin.
Bercerita lanjut mengenai perkara itu, Siti memberitahu dia sendiri sudah terlupa kesemua tajuk lagu-lagu berkenaan kerana sudah terlalu lama.
Kata Siti, dia juga terbuka sekiranya SRC mahu meminta penyanyi lain merakamkan semula lagu-lagu berkenaan dalam versi baharu.
“Setiap album kita akan rakam lagu lebih. Saya sendiri tak ingat lagu-lagu yang belum dilancarkan. Sekiranya SRC mahu rakamkan semula dengan penyanyi lain saya tiada masalah. Itu hak mereka,” ujarnya.
Untuk rekod, Siti pernah merakamkan sebanyak 11 buah album bersama SRC. Album terakhir Siti bersama SRC diterbitkan pada 2004 berjudul Prasasti Seni memuatkan 13 buah lagu.
Selepas tidak menyambung kontrak bersama SRC yang tamat pada 2006, Siti menerbitkan sendiri albumnya menerusi syarikat miliknya Siti Nurhaliza Productions (SNP). – Agensi
