Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza mohon maaf tiada penambahan hari konsert

    Penyanyi tersohor Malaysia telah mengumumkan bahawa tiada penambahan hari dan juga tiket konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang bakal berlangsung pada 9 Mac 2024.

    Memetik laporan mStar, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 45, berkata, beliau terpaksa membuat keputusan tersebut setelah mengambil kira pelbagai faktor.

    “Tidak ada pengumuman baru hari ini. Saya minta maaf tidak dapat tambah hari dan jualan tiket.

    “Kalau saya buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu.

    “Saya dan pasukan sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin dapat tambah hari,” katanya kepada pemberita.

    Siti memaklumkan perkara itu semasa sidang media konsert berkenaan yang berlangsung pada kelmarin.

    Penyanyi lagu Cindai itu turut memohon maaf kepada peminat yang gagal mendapatkan tiket konsert berkenaan.

    Bagi merawat luka peminat, Siti memaklumkan pada konsert seterusnya beliau akan cuba menganjurkan selama dua hari.

    “Saya mohon maaf ramai tidak berkesempatan sebab tiket sudah habis dijual.

    “Insya-Allah konsert seterusnya saya fikir untuk buat selama dua hari,” ujarnya.

    Sementara itu, Siti memberitahu penyanyi popular Indonesia iaitu judika akan muncul sebagai bintang undangan pada konsert yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, Malaysia.

    Tambah Siti lagi, sebahagian jualan tiket konsertnya itu akan disalurkan kepada Yayasan Nur Jiwa untuk membantu umat Islam di Palestin.

    Pada 21 Disember lalu, jualan konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza habis terjual dalam tempoh dua jam selepas ia dibuka untuk jualan. – Agensi

    Siti Nurhaliza memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat menambah tiket dan hari konsert. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda