Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza pernah alami komplikasi selepas bersalin

    Terlalu besar perjuangan dan pengorbanan dilakukan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam usaha mendapatkan cahaya mata pertama yang mungkin masih ramai tidak mengetahuinya secara terperinci.

    Siti perlu menanti selama 11 tahun sejak mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K pada 21 Ogos 2006 dan perlu menjalani kaedah persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak lima kali bagi memiliki cahaya mata.

    Pada 19 Mac 2018, Siti akhirnya dikurniakan cahaya mata sulung, Siti Aafiyah selepas proses IVF dijalaninya membuahkan hasil sebelum menimang cahaya mata kedua, Muhammad Afwa pada 19 April 2021 melalui kaedah rawatan sama.

    Bagaimanapun, penyanyi nombor satu Malaysia itu bersyukur kerana akhirnya dikurniakan cahaya mata selepas bertarung nyawa dan melalui proses sukar.

    Siti memberitahu, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjadi individu terawal mengetahui kisahnya dan turut menasihatinya untuk menghentikan seketika karier nyanyi demi menjalani rawatan IVF.

    “Sejurus bersalin, saya pernah alami komplikasi yang tidak pernah dikongsi dengan masyarakat. Tunku Azizah tahu lebih awal keadaan saya.

    “Saya dan suami ada berkongsi cerita mengenai perkara ini. Alhamdulillah, Allah selamatkan saya.

    “Saya ambil keputusan untuk buat rawatan sama untuk anak kedua. Alhamdulillah, semuanya lancar. Sambil sibuk kerja, saya curi masa buat IVF sebagai cubaan buat kali terakhir. Saya terdetik begitu dalam hati.

    “Saya ambil keputusan hentikan kerjaya nyanyian selama setahun khusus untuk proses rawatan ini,” katanya pada sidang media sempena pembukaan Alhaya Fertility Centre di Hospital Pakar KPJ Damansara 2, Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Siti berkata, dia berdepan cabaran dan dugaan dalam usaha mendapatkan cahaya mata biarpun dikurniakan pelbagai rezeki lain.

    “Semua sudah tahu perjalanan saya. Saya ada rakam dan muatkan di YouTube mengenai perjalanan untuk mendapatkan cahaya mata yang sangat mencabar.

    “Bukan sebagai wanita sahaja tetapi sebagai hamba Allah. Allah beri saya bermacam rezeki dari segi kerjaya dan sebagainya. Allah duga saya dari segi cahaya mata.

    “Saya percaya Allah akan bagi tepat pada masanya. Alhamdulillah dengan apa saya lalui Allah bagi rezeki ini,” katanya yang tidak dapat menahan sebak ketika berkongsi mengenai perkara itu.- Agensi

    Siti berkata, dia berdepan cabaran dan dugaan dalam usaha mendapatkan cahaya mata biarpun dikurniakan pelbagai rezeki lain.- mStar

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda