Saturday, October 12, 2024
30.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza prihatin jaga kebajikan pekerja

    Bekas pekerja Datuk Seri Siti Nurhaliza menyifatkan penyanyi tersohor itu seorang majikan bertanggungjawab dan prihatin dalam menjaga kebajikan pekerja.

    Khairul Azmir Abdul Hamid, 58, berkata, sepanjang 20 tahun berkhidmat, Siti tidak pernah lupa membuat caruman kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam melindungi pekerja.

    “Siti memang seorang majikan terbaik. Dia tidak pernah culas mencarum Perkeso untuk pekerjanya.

    “Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan faedah diterima. Saya tidak menjangka akan mendapat manfaat sebanyak ini daripada Perkeso,” katanya kepada mStar.

    Khairul berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media majlis penyerahan faedah Perkeso kepada kakitangan Siti Nurhaliza Legacy Sdn Bhd yang diadakan di Wangsa 118, Kuala Lumpur, semalam.

    Bapa kepada tujuh cahaya mata ini tidak lagi mampu bekerja kerana menderita strok selain penyakit buah pinggang kronik dan diabetes sejak dua tahun lalu.

    Hasil semakan pihak Perkeso, Khairul merupakan pencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan 1969 (Akta 4) dengan rekod caruman sebanyak 272 bulan.

    Hal ini melayakkan Khairul menerima faedah pencen ilat sebanyak RM3,027.92 sebulan selain kemudahan dialisis sebanyak RM150 untuk setiap sesi rawatan menerusi Skim Keliatan di bawah Akta 4 Perkeso.

    Turut hadir Pengarah Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohamad Asri Ngosman yang menyerahkan replika cek diiringi oleh Siti mewakili syarikatnya. – Agensi

    Siti mengutamakan kebajikan setiap pekerja. – Lifestyleasia
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda