Sebagai seorang penyanyi tersohor Malaysia, pasti ramai menyangka Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza hanya memakai pakaian berjenama dan rekaan pereka fesyen terkenal sahaja.
Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 46, bagaimanapun mendedahkan dia juga seperti wanita lain yang turut gemar membeli pakaian secara dalam talian.
Malah kata Siti, bersempena hari raya tahun ini, beberapa koleksi baju miliknya adalah hasil pembelian secara dalam talian.
“Raya kan sebulan? Jadi ada juga pakaian yang saya beli secara online,” katanya kepada mStar.
Bercerita mengenai persiapannya, Siti lebih memfokuskan kepada anak-anaknya iaitu Siti Aafiyah, 7 dan Muhammad Afwa, 4 tahun.
Kata Siti, apa paling penting dia akan menyediakan sekurang-kurangnya sehelai pakaian sedondon bersama keluarga.
“Persiapan raya saya setiap tahun sama sahaja. Sediakan kuih muih dan makanan untuk hari raya pertama.
“Fokus pada pakaian suami dan anak-anak. Saya percaya semua ibu-ibu di luar sana pun begitu.
“Baju Aafiyah pula setiap tahu memang saya beli kain lebih untuk buat baju sedondon. Afwa pula sama dengan ayahnya,” ujarnya.
Bagi Aidilfitri tahun ini, dia hanya membeli tujuh pasang baju baharu untuk digayakan dan selebihnya memakai pakaian lama dalam koleksinya. – Agensi