Wednesday, March 12, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza tak sangka lagunya disukai Raja Charles III

    Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza sekali lagi membanggakan Malaysia apabila lagu nyanyiannya berjudul Anta Permana menjadi pilihan Raja Britain, Raja Charles III.

    Meluahkan rasa syukur, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, tidak menyangka karya tersebut mendapat perhatian golongan Diraja negara berkenaan.

    “Saya dimaklumkan oleh pihak Universal Music Malaysia dan memang tidak sangka.

    “Alhamdulillah, Allah beri rezeki untuk dikenali. Bukan mudah untuk orang sayang dan hargai hasil kerja kita,” katanya.

    Siti berkongsi perkara tersebut ketika dihubungi stesen radio Hot FM selepas perkara tersebut menjadi bualan ramai.

    Malah, Biduanita Malaysia berkenaan turut memuat naik satu hantaran di laman Instagram mengucapkan penghargaan atas pemilihan lagu tersebut.

    Dalam pada itu, Siti tidak lupa mengucapkan tahniah kepada komposer iaitu Hael Husaini dan Ezra Kong yang menghasilkan lagu berkenaan.

    “Kita perlu komposer seperti mereka ini. Dalam kelebihan zaman sekarang muzik kita boleh tembusi pasaran luar.

    “Yang penting menepati halwa telinga pendengar,” luahnya.

    Lagu Anta Permana berada dalam senarai kegemaran Raja Charles sempena sambutan Hari Negara-Negara Komanwel seperti yang diumumkan oleh aplikasi Apple Music.

    Senarai lagu-lagu pilihan dikumpulkan khas di platform berkenaan dengan tajuk His Majesty King Charles III’s Playlist, yang menampilkan gabungan muzik dari seluruh dunia. – Agensi

    Lagu nyanyian Siti mendapat perhatian Raja Britain. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda