Thursday, November 14, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza terima Anugerah Biduan Negara 2024

    Penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza mencipta sejarah apabila menjadi wanita ketiga diberi penghormatan sebagai penerima Anugerah Biduan Negara pada Anugerah Seni Negara (ASN) 2024 yang berlangsung pada malam kelmarin.

    Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya iaitu Khairul Firdaus Akhbar Khan pada majlis yang berlangsung di Hotel Majestic Kuala Lumpur.

    Selain trofi, Siti turut membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 Siti juga membawa pulang wang tunai berserta kain songket watikah dan status sebagai Seniman Tamu.

    Anugerah tersebut diberikan kepada Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 45, bukan sahaja aktif dalam seni suara malah berjaya mengangkat seni budaya dan warisan ke peringkat antarabangsa.

    Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, Siti melihat pengiktirafan tersebut bukan sekadar terhadap pencapaian kerjaya seni namun lambang penghargaan kepada semua insan seni yang sentiasa memperjuangkan keindahan budaya dan muzik tanahair.

    Amanah dan kepercayaan ini kata Siti merupakan tanggungjawab secara peribadi untuk terus memartabatkan seni dan budaya terutama dalam bidang muzik untuk terus cemerlang dan subur mewarnai zaman.

    “Kepada Allah SWT saya panjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dengan kurniaan bakat, saya berpeluang memanfaatkannya untuk memberi nilai-nilai positif, inspirasi dan pengaruh yang baik.

    “Seni juga menghubungkan dan menyatukan kita tanpa mengira agama, bahasa, bangsa dan negara.

    “Justeru, saya berikrar untuk terus menggandakan usaha memberikan nilai positif dalam mengekalkan seni budaya untuk terus dihormati, dijaga, dihargai kerana inilah warisan yang kita ada dan perlu dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan kepada mStar.

    Selain Siti, dua penyanyi wanita yang pernah menerima anugerah sama adalah Allahyarham Puan Sri Saloma pada tahun 1978 dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini pada 2006.

    Sehingga kini, beliau telah menerima dan memenangi lebih daripada 300 anugerah tempatan dan antarabangsa.

    Sepanjang kariernya, Siti juga pernah menghasilkan 16 album studio, 11 album kompilasi, 10 album secara langsung, dua album duet dan sebuah album khas serta telah merakamkan lebih daripada 250 lagu dan single. – Agensi

    Siti Nurhaliza antara penyanyi tersohor yang mengangkat nama Malaysia. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda