Sunday, December 22, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Siti Nurhaliza terkesan pemergian S Atan

    Biduanita negara Datuk Seri Siti Nurhaliza antara anak seni yang banyak bekerjasama dan merakamkan karya hebat komposer Allahyarham Datuk S Atan.

    Antara lagu yang pernah dihasilkan arwah buat Siti adalah Joget Kasih Tak Sudah, Berpantun Kasih, Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Joget Berhibur dan Bila Hari Raya Menjelma.

    Mengenang kembali kerjasama di antara mereka, Siti atau Siti Nurhaliza Taruddin, 45, memberitahu lagu ciptaan arwah juga antara menjadi pilihannya ketika membuat persembahan pentas atau konsert.

    “Saya sangat bertuah kerana dapat menyanyikan lagu-lagu ciptaan beliau yang jarang sekali saya tinggalkan dalam mana-mana persembahan atau konsert lagu-lagu tradisional.

    “Beliau turut menjadi penerbit kepada lagu-lagu tradisional di dalam album-album saya,” katanya.

    Siti menulis perkara tersebut di Instagram miliknya kelmarin sebagai penghormatan buat S Atan yang baru sahaja meninggal dunia.

    Tambah Siti, pemergian Allahyarham disifatkan satu kehilangan besar buat industri muzik tempatan.

    “Saya ingin menyampaikan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk S Atan di atas pemergian insan tersayang,” luahnya.

    S Atan atau Hashim Said menghembuskan nafas terakhir pada petang Sabtu di kediamannya di Kajang, Selangor akibat sesak nafas dan komplikasi jantung.

    Sepanjang hayatnya S Atan sudah menghasilkan lebih daripada 1,000 lagu untuk penyanyi penyanyi popular Tan Sri SM Salim, Datuk DJ Dave, Datuk Jamal Abdillah, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad termasuk Siti sendiri. – Agensi

    Siti kenang jasa S Atas dalam seni muzik tanah air. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda