Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza meluahkan rasa teruja apabila impiannya untuk berduet bersama Datuk Awie menerusi lagu tradisional akhirnya tercapai di dalam album Sitism.
Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 44, berkata pertama kali dia melamar penyanyi rock tanah air itu untuk berduet bersama adalah sewaktu konsert Music of The Soul: An Evening pada November tahun lalu.
“Sebelum-sebelum ini kami pernah berduet dalam rancangan televisyen dan dapat bekerjasama untuk konsert saya.
“Selepas itu saya rasa Datuk Awie ada kelebihan, suaranya berlemak dan apabila dia nyanyi lagu tradisional memang kena.
“Bukan lagu rock saja, lagu tradisional pun memang sedap didengar. Saya memang nak duet lagu tradisional sebab kalau balada macam sudah banyak.

“Saya pun memang nak cari seorang penyanyi lelaki untuk berkolaborasi dalam album Sitism ini teruslah saya menyuarakan hasrat itu dan dia bersetuju. Alhamdulillah,” katanya.
Siti berkata dia gembira apabila Awie atau Ahmad Azhar Othman, 54, turut menyukai lagu berjudul Kalau Berkasih yang merupakan karya ciptaan Glowrush, Tam Cobain dan Mike Chan.
Lebih unik lagi apabila Kalau Berkasih ini sepatutnya dinyanyikan secara solo namun Siti mahu ia menjadi lagu duet.
“Saya siapkan dulu lagu-lagu solo saya dalam masa yang sama cari lagu. Apabila komposer hantar lagu, ada satu lagu tradisional yang saya suka sangat.
“Ketika itu saya rasa ini memang sesuai untuk saya berduet dengan dia. Bila bagi dia dengar dia pun suka,” ujarnya.
Sementara itu, Siti memberitahu sesi rakaman lagu berkenaan juga dibuat secara berasingan yang mana ia dimulakan olehnya terlebih dahulu. – Agensi