Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Situasi COVID-19 di Iran kembali mencemaskan

    TEHRAN, 28 JULAI – Iran melaporkan 235 kematian baharu akibat wabak koronavirus hari ini, jumlah tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam sejak negara Timur Tengah itu dilanda wabak berkenaan.

    “Kami kehilangan 235 warga kami akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam terakhir, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 16,147, kata jurucakap kementerian kesihatan, Sima Sadat Lari.

    Pihak berkuasa telah meletakkan 15 daripada 31 wilayah di Iran dalam amaran tertinggi bagi langkah waspada jangkitan berkenaan, katanya pada sidang media di televisyen.

    Situasi ini membimbangkan di Iran, kata Lari, sambil menambah bahawa jumlah pesakit yang dirawat di negara itu menghampiri kadar jumlah tertinggi semasa Iran bergelut untuk memerangi wabak berkenaan pada Mac lalu.

    “Tehran, wilayah yang paling padat penduduknya, diletakkan pada tahap ‘merah’ untuk pertama kalinya sejak negara itu dilanda virus gelombang pertama,” katanya, menyeru secara tegas untuk melaksanakan garis panduan kesihatan.

    Tahap ‘merah’ adalah kategori tertinggi pada skala risiko koronavirus republik Islam itu.

    Iran telah berusaha untuk mengekang wabak koronavirus sejak mengumumkan kes pertama pada 19 Februari.

    Iran mengisytiharkan kemenangan dalam mengekang kematian dan jangkitan virus sejak mencatatkan jumlah jangkitan terendah pada Mei lalu.

    Angka kematian tertinggi sebelum ini dicatatkan pada Selasa lalu, ketika kementerian kesihatan melaporkan 229 pesakit telah meninggal dunia.

    Pihak berkuasa di Iran telah mewajibkan pemakaian penutup mulut dan hidung di kawasan awam tertutup dan melaksanakan langkah sekatan di beberapa wilayah terjejas termasuk Tehran. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda