PUTRAJAYA, 5 Okt – Kejadian yang meragut nyawa enam anggota bomba ketika operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong dianggap sebagai ‘situasi satu dalam sejuta’.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata walaupun kawasan insiden itu mempunyai kedalaman hanya sehingga ‘paras dada’ tetapi keadaan yang berlaku adalah sesuatu yang diluar jangka.
“Kesemua mereka mempunyai kelayakan serta mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) dan masih muda yang dari segi logiknya takkan mereka tidak mempunyai keupayaan untuk berjuang dan bertahan kalau tidak kerana keadaan yang amat luar biasa telah berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu Raja Kamarul Bahrin melakukan lawatan kerja ke Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) di Putrajaya hari ini. Rentetan beberapa kejadian lemas yang berlaku di kawasan lombong, beliau meminta pihak berkuasa tempatan untuk meletakkan tanda amaran di tempat yang mudah dilihat orang awam di kawasan berisiko selain peranan ibu bapa untuk memastikan anak mereka tidak merayau di tempat yang berbahaya.
Dalam kejadian pada malam Rabu lepas, seramai enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM maut ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat seorang remaja yang terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah JBPM Mohamad Hamid – dan Wahid berkata ketika kejadian beliau difahamkan keenam-enam anggota itu telah melakukan penilaian di tempat kejadian sebelum memulakan operasi.
“Mereka bergerak kerana merasakan keadaan adalah selamat namun apabila berlakunya kemalangan, itu adalah disebabkan oleh faktor teknkal atau topografi tempat itu.
“Mereka telah membuat kerja dengan baik cuma apabila seorang daripada penyelamat tergelincir dibawa arus dan keadaan dasar yang terlalu deras menyebabkan mereka semua telah berpusing bergelut dengan peralatan masing-masing selama kira-kira 10 minit..namun kita masih tidak tahu secara mendalam tentang apa yang terjadi,” katanya. – Bernama