KUALA LUMPUR, 14 OKT – Pemain skuasy wanita nombor satu negara, S. Sivasangari meneruskan rentak cemerlang di Kejohanan Silicon Valley Open di Redwood City, Amerika Syarikat apabila menewaskan pilihan tuan rumah, Amanda Sobhy untuk mara ke separuh akhir, hari ini.
Pemain nombor lapan dunia dan pilihan ketiga kejohanan itu beraksi cemerlang untuk mencatat kemenangan 3-1 (12-10, 12-10, 8-11, 11-6) ke atas pemain pilihan kelima Amerika Syarikat itu dalam pertarungan sengit selama 48 minit di peringkat suku akhir.
Kemenangan itu merupakan kali keempat buat Sivasangari menewaskan Sobhy, 32, dalam enam pertemuan mereka setakat ini.
Pada separuh akhir nanti, pemain berusia 26 tahun itu bakal berdepan pilihan ketujuh dari Mesir, Salma Hany yang mengejutkan pilihan kedua dari Jepun, Satomi Watanabe 3-1 (11-
13, 11-8, 11-9, 11-8) dalam satu lagi aksi suku akhir.
Namun, rekod pertemuan tidak banyak memihak kepada Sivasangari apabila beliau hanya menang sekali daripada tiga pertemuan sebelum ini dengan Hany, termasuk kekalahan terbaharu pada kejohanan El Gouna International Squash Open 2025 pada April lepas. – Bernama


