KUALA LUMPUR, 14 MEI – Pemain skuasy wanita utama Malaysia, S. Sivasangari menepati ramalan apabila mara ke suku akhir Kejohanan Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) 2024-2025 di Chicago, Amerika Syarikat.
Pemain pilihan ketujuh itu hanya mengambil masa 34 minit untuk menewaskan pemain tuan rumah Amanda Sobhy 3-0 (11-8, 14-12, 11-6) pada pusingan ketiga yang berlangsung di University Club of Chicago awal pagi tadi.
Sivasangari dijadual menentang pilihan keempat Olivia Weaver yang juga pemain pilihan tuan rumah pada aksi suku akhir selepas dia menyingkirkan wakil Mesir Salma Hany 3-1 (11-7, 9-11, 11-7, 11-4) dalam masa 47 minit.
Sivasangari yang kini menduduki ranking kesembilan dunia menjadi wakil tunggal Malaysia pada kejohanan itu selepas Ng Eain Yow terkandas di pusingan ketiga dalam kategori lelaki.
Eain Yow gagal menyaingi kehebatan pemain nombor satu dunia dari Mesir Mostafa Asal apabila tewas 0-3 (4-11, 6-11, 7-11) dalam tempoh 56 minit. – Bernama
