KUALA LUMPUR, 13 APRIL – Pemain skuasy wanita utama Malaysia, S. Sivasangari, mara ke pusingan kedua kejohanan Skuasy Terbuka Antarabangsa El Gouna 2025 selepas menewaskan rakan senegaranya, Aira Azman dalam masa hanya 17 minit, semalam.
Pemain nombor 11 dunia itu mempamerkan aksi dominan sepanjang perlawanan pusingan pertama di Kompleks Skuasy El Gouna, Mesir dengan kemenangan straight set 11-4, 11-5, 11-3.
Ini merupakan kemenangan ketiga Sivasangari ke atas pemain ranking ke-30 dunia itu selepas pernah menewaskan Aira dalam kejohanan Trofi Tuanku Muhriz 2023 dan Terbuka New Zealand 2025.
Pemain pilihan ketujuh kejohanan itu seterusnya akan berdepan pemain Mesir, Salma Hany yang menundukkan wakil Belgium, Nele Gilis-Coll dalam perlawanan pembukaan.
Sivasangari sebelum ini pernah menewaskan Salma pada edisi 2022 kejohanan yang sama.
Mengikuti jejak Sivasangari, seorang lagi jaguh skuasy wanita Malaysia, Rachel Arnold yang menumpaskan pemain tuan rumah, Zeina Mickawy dengan 11-5, 11-8, 11-13, 10-12, 11-5, dalam aksi sengit yang berlangsung selama 50 minit.
Rachel akan berdepan pilihan keempat kejohanan Olivia Weaver dari Amerika Syarikat dalam usahanya memburu slot ke suku akhir. – Bernama
