LOS ANGELES, 29 JAN – Tyrese Maxey menjaringkan 43 mata untuk memimpin Philadelphia 76ers melakar kemenangan 118-104 ke atas Los Angeles Lakers, kelmarin, manakala Houston Rockets menewaskan Atlanta 100-96.
Ketiadaan Joel Embiid yang terlepas perlawanan ke-12 berturut-turut dan Paul George diketepikan kerana kecederaan jari, menyerlahkan permainan Maxey dan Sixers telah memenangi perlawanan ketiga berturut-turut.
Kekalahan itu menghentikan rentak kemenangan empat perlawanan Lakers, yang termasuk kemenangan ke atas penyandang juara, Boston Celtics. Lebih malang lagi apabila pemain bintang, Anthony Davis, dikeluarkan pada suku pertama kerana kecederaan pada bahagian perut. Lakers mendahului jaringan mata 20-17 apabila Davis – mencatatkan 42 mata, 23 rebound semasa beraksi di Charlotte Isnin lalu – dikeluarkan dan pasukannya berdepan masalah semasa ketiadaannya.
Sixers mengatasi mereka 48-32 pada suku kedua dan mendahului jaringan mata 73-57 pada separuh masa.
LeBron James menjaringkan 31 mata dengan lapan rebound dan sembilan assist tetapi berkata 22 turnover adalah terlalu banyak.
“Apabila pemain terbaik kami keluar, ia sentiasa mencabar,” kata James, sambil menambah kami hanya perlu menjadi lebih baik.
“Kami mempunyai terlalu banyak turnover malam ini yang mengakibatkan terlalu banyak jaringan untuk mereka. Kami tidak boleh terus-menerus melakukan kesilapan.” Katanya. – AFP