SEOUL, 20 OKT – Pembuat cip kedua terbesar di dunia, SK Hynix dari Korea Selatan, mengumumkan perjanjian bernilai AS$9 bilion hari ini untuk membeli operasi cip memori Intel tatkala ia berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya dan bersaing dengan gergasi Samsung Electronics.
SK Hynix kini merupakan pembuat cip DRAM nombor dua dunia, digunakan dalam komputer dan server, tetapi sedikit ketinggalan dalam pasaran untuk cip memori NAND dalam peranti seharian seperti telefon pintar dan pemacu storan USB serta peralatan industri dan perubatan.
Dalam perkembangan terbaharunya, SK Hynix berkata ia akan memperoleh seluruh bahagian perniagaan Intel iaitu NAND kecuali bahagian Optane bernilai 10.3 trilion won, dengan kilang Intel di Dalian, China, termasuk dalam perjanjian itu. Ia juga merupakan pemerolehan terbesar oleh syarikat Korea Selatan, di belakang pembelian pembuat alat audio dan kereta AS Harman International oleh Samsung Electronics bernilai AS$8 bilion pada 2016.
Ketua Pegawai Eksekutif SK Hynix Seok-Hee Lee berkata dalam satu kenyataan bahawa ia akan memberikan kedudukan pasaran NAND kepada syarikatnya “setanding dengan apa yang kami capai dalam DRAM”.
Penganalisis mengatakan ia juga akan meningkatkan keupayaannya untuk bersaing dengan Samsung Electronics, peneraju pasaran di kedua-dua sektor NAND dan DRAM.
Kedua-dua syarikat berkenaan kini bersaing di seluruh dunia, membekalkan cip kepada pelanggan dari syarikat gergasi Amerika seperti Apple dan Dell kepada syarikat China, dan permintaan telah meningkatkan keuntungan mereka dalam beberapa tahun terakhir.
SK Hynix menduduki tempat keempat selepas penjualan NAND global pada suku kedua tahun ini, menurut penyelidik pasaran Trendforce. Intel berada di tangga keenam.
“Dengan perjanjian itu, syarikat telah mengukuhkan kedudukan kedua terbesarnya dalam industri semikonduktor global,” kata Ahn Ki-hyun, naib presiden Persatuan Industri Semikonduktor Korea. Dalam jangka panjang, perjanjian itu membuka jalan untuk menjadikan syarikat itu lebih kompetitif terhadap Samsung,” tambahnya. – AFP