Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Awang Muhammad Haziq Syazwan bin Hermanti dan Dayang Noorhanisah binti Haji Abdul Ghani masing-masing muncul juara dalam kategori lelaki dan perempuan terbuka Skechers City Run (12km) yang diadakan pada pagi tadi bertempat di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara.
Kategori Lelaki Veteran (12km) telah dijuarai oleh Awang Shamsul Effandy bin Haji Sulaiman dengan catatan masa 46 minit 20.57 saat manakala Tho Siaw Khim menjuarai Kategori Wanita Veteran (12km) dengan masa 54 minit 37.36 saat.
Para pemenang pertama, kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai $300, $200, dan $100 sumbangan Skechers.
Di samping larian berkenaan, acara turut dimeriahkan dengan Kategori 2.5km Fun Run dengan penyertaan keseluruhannya dari dalam dan luar negara pada hari ini melebihi seramai 600 penyertaan dalam kesemua kategori larian.
Hadir bagi menyampaikan hadiah kepada para pemenang Skechers City Run 2023 tersebut ialah Duta Skechers Brunei, Awang Sefli bin Ahar dan Pengurus Produk, Lim Ke Nie.
Awang Sefli semasa ditemui pihak media pada acara tersebut mengongsikan keterujaannya menyaksikan sambutan yang cukup menggalakkan bagi penyertaan acara yang buat julung kalinya diadakan oleh GL Extra Enterprise selaku pengedar tunggal jenama kasut Skechers di Brunei yang dihasrat dapat mencungkil bakat baharu dalam acara sukan larian yang dipertandingkan tersebut.
Selain itu, ia juga diadakan sebagai cara untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak tempatan untuk menceburi sukan berkenaan.
Para peserta pada acara tersebut juga berpeluang menerima pelbagai hadiah cabutan bertuah yang berupa beg, pakaian, kasut dan selipar berjenama Skechers.
