Oleh Daniel Lim
BELAIT, 27 SEPT – Sebagai sebahagian daripada inisiatif berterusan untuk menggalakkan kakitangannya mengambil berat akan alam sekitar, Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi (SKG) telah menganjurkan kempen kebersihan pantai yang disertai oleh lebih 150 orang kakitangan, baru-baru ini.
Diadakan bermula di Taman Rekreasi Jubli Perak, Kuala Belait, kempen telah diketuai oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan, Shaikh Khalid bin Shaikh Haji Ahmad yang disertai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Revi Bhaskaran.
Dalam ucapan pembukaannya, Shaikh Khalid menjelaskan bahawa kempen itu diadakan selaras dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dan beliau gembira untuk melibat lebih 150 orang warga Serikandi bersama keluarga mereka hadir menyokong aktiviti berkenaan untuk memastikan kebersihan pantai negara.
Sepanjang kempen itu, para peserta telah berjaya berjalan sejauh 4km untuk mengutip sampah yang terdampar di pesisir pantai.
