Thursday, October 24, 2024
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skim bimbingan mantapkan pengetahuan mualaf

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OKT – Skim Bimbingan Asas Mualaf Siri ke–199 (Lelaki) dan Siri ke-200 (Perempuan) anjuran Pusat Dakwah Islamiah (PDI) melalui Bahagian Pembangunan Mualaf (Tarbiyah Mualaf) dan Unit Dakwah di keempat-empat daerah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup dan penyampaian sijil kepada seramai 132 orang peserta dari keempat-empat daerah petang tadi.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis diadakan di Bangunan Darul Huda, PDI, dan dihadiri oleh Pengarah PDI, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh, selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan kepada para peserta.

    Sementara bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Tutong dan dihadiri oleh Pemangku Pengarah Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal, KHEU, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit, selaku tetamu kehormat yang juga menyempurnakan penyerahan sijil penyertaan kepada para peserta.

    Manakala di Daerah Belait, majlis dihadiri oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Akup bin Haji Lamat, pada majlis yang diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Belait.

    Di Daerah Temburong, majlis diadakan di Pejabat Unit Dakwah Daerah Temburong dan dihadiri oleh Ketua Unit Dakwah Daerah Temburong, Haji Hazimin bin Haji Metali.

    Para peserta skim lelaki bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan tetamu khas di Bangunan Darul Huda, PDI. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Para peserta skim perempuan bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan tetamu khas di Bangunan Darul Huda, PDI. – GAMBAR SERAHAN PDI
    Antara yang hadir pada majlis yang diadakan di Daerah Belait. – GAMBAR SERAHAN PDI

    Para peserta skim berkenaan terdiri daripada 43 orang peserta (iaitu 19 orang lelaki dan 24 orang perempuan) dari Daerah Brunei dan Muara; 35 orang peserta (17 orang lelaki dan 18 orang perempuan) dari Daerah Tutong; 36 orang peserta (18 orang lelaki dan 18 orang perempuan) dari Daerah Belait; dan 18 orang peserta (tujuh orang lelaki dan 11 orang perempuan) dari Daerah Temburong.

    Antara pengisian skim tersebut termasuk mempelajari ilmu asas Fardu Ain dan Fardu Kifayah iaitu Iqra, Hafalan, Tauhid, Fiqh, praktikal ibadat, sejarah Islam, pemakanan dalam Islam, akhlak Islam, kebersihan serta teori dan praktikal pengurusan jenazah.

    Ia diadakan adalah untuk memberikan bimbingan kepada peserta-peserta mualaf dalam menghalusi dan meningkatkan lagi ilmu pengetahuan agama Islam terutama dalam bidang akidah, ibadah dan akhlak.

    Skim yang dijalankan mengutamakan kualiti pembelajaran dan penyebaran sahsiah yang baik. Manakala pendekatan yang dibawa adalah secara interaktif dan fleksibel mengikut tajuk-tajuk yang disampaikan kepada peserta mualaf.

    Dalam usaha menjaga dan memelihara kemaslahatan saudara-saudara baru, PDI menyediakan beberapa program bimbingan khusus untuk mualaf iaitu Bimbingan Pengenalan Islam, Skim Bimbingan Asas (dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris), Skim Bimbingan Lanjutan I serta Skim Bimbingan Lanjutan II. Kelas Bimbingan Mualaf juga turut dibukakan secara mingguan di keempat-empat daerah dan Program Lawatan Tarbiyah Mualaf.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda