GRAMATNEUSIEDL, AUSTRIA – Selepas meluangkan masa bertahun-tahun di rumah membesarkan dua anaknya, juruteknik sistem elektrik, Sarah Sklenicka merasakan satu ‘cabaran besar’ untuk kembali ke pasaran pekerjaan.
Tetapi kini wanita berusia 37 tahun itu bersedia untuk menghadapi apa sahaja berkat skim eksperimen Austria, yang dikatakan sebagai yang pertama di dunia dalam menangani pengangguran jangka panjang.
Kampung Gramatneusiedl yang terletak berhampiran Vienna kini mempunyai kadar pengangguran sifar selepas menjamin pekerjaan kepada semua 129 orang penganggur jangka panjangnya.
Projek itu membuktikan kebolehan untuk menghapuskan masalah yang sukar ini di peringkat komuniti, kata ahli ekonomi, Oliver Picek dari Institut Momentum Vienna.
“Adalah mungkin untuk memberi pekerjaan kepada semua orang yang memerlukannya,” katanya kepada AFP.






Projek perintis MAGMA menawarkan latihan dalam pertukangan kayu, berkebun, menjahit dan pekerjaan lain yang diperlukan oleh komuniti atau perniagaan tempatan pada kadar gaji minimum kepada semua orang yang telah menganggur selama lebih daripada satu tahun.
Sebelum memulakan kerja, mereka mendapat lapan minggu kaunseling untuk mengenal pasti kekuatan dan matlamat mereka, dengan ramai yang melaporkan bahawa projek itu telah membantu membina semula keyakinan diri mereka.
Jaminan kerja
“Saya berasa lebih yakin sekarang untuk memohon di tempat lain. Saya merasakan bahawa saya sebenarnya mampu melakukannya dan mendapatkan pekerjaan di luar projek ini,” kata Sklenicka, yang telah membuat dan membaiki perabot secara sambilan sejak setahun lalu.
Penganjur berkata hampir semua orang kecuali beberapa penganggur jangka panjang di kampung tersebut mengambil tawaran latihan itu, dan itu disebabkan oleh masalah kesihatan.
Pakar ekonomi, Picek berkata kejayaan pendekatan hiper-lokal ini adalah ‘bukti konsep idea jaminan pekerjaan’.
Walaupun kadar pengangguran Austria berada di bawah purata EU pada 4.6 peratus, negara Alpine itu menghadapi kekurangan tenaga kerja dalam ba-nyak sektor, dan sebahagian daripada penduduk masih terpinggir.
Pasaran buruh Gramatneusiedl adalah tipikal di Niederosterreich, menjadikannya sebagai tempat ujian yang sempurna bagi perkhidmatan pekerjaan di wilayah tersebut.
“Cabaran besar untuk skim ini ialah apa yang harus kita lakukan dengan orang-orang tertentu yang tidak dapat kita integrasikan ke dalam pasaran pekerjaan utama?” kata timbalan pengarah perkhidmatan tersebut, Sandra Kern.
Kampung berpenduduk 4,000 orang itu juga merupakan lokasi kajian perintis pada tahun 1933 tentang pengangguran berskala besar semasa zaman Kemelesetan Besar.
Ia masih belum dapat dipastikan sama ada projek MAGMA selama empat tahun itu – yang menelan kos kurang daripada 30,000 euro (AS$32,500) setiap orang setahun, jumlah yang setanding dengan faedah pengangguran – akan dipanjangkan atau diterima pakai secara lebih meluas, kata Kern.
Namun, satu kajian oleh Universiti Oxford mendapati ‘kesan positif yang kuat terhadap kesejahteraan ekonomi dan bukan ekonomi peserta’.
‘Kuat untuk memulakan semula’
Yasemin Yaman sebelum ini mengalami kemurungan dan serangan panik setelah tidak dapat mencari pekerjaan selepas melahirkan anak. Kini dia bekerja 30 jam seminggu dalam projek pertukangan kayu dan jahitan.
“Saya begitu kesunyian sehingga jam 3 petang (apabila anak-anaknya pulang dari sekolah). Saya sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena,” kata ibu kepada tiga anak berusia 38 tahun itu kepada AFP.
Kini, katanya, dia berasa ‘kuat untuk memulakan semula’.
Robert Leisser adalah antara satu pertiga daripada peserta projek yang telah mendapat pekerjaan tetap, bekerja dalam perusahaan kayu tempatan.
“Saya menjadi aktif, saya meneruskan rancangan untuk masa depan semula dengan menghabiskan dua tahun dalam projek itu,” kata bapa berusia 37 tahun itu, yang pernah bergelut dengan ketagihan dadah pada masa lalu.
Komitmennya dalam MAGMA membantunya mendapatkan pekerjaan semasanya, tambahnya. – AFP

