Oleh Sim Y. H. –
TEMBURONG, 12 OGOS – Pasukan Skim Olahraga Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Brunei Muara muncul sebagai pemenang pungutan pingat secara keseluruhan dalam Kejohanan Skim Olahraga 2024-2025 yang berlangsung di Padang dan Balapan, Kompleks Sukan Temburong, Batu Apoi, Daerah Temburong, baru-baru ini.
Kejohanan selama dua hari itu, disertai oleh seramai 218 orang atlet lelaki dan perempuan berumur 21 tahun ke bawah di mana ia mempertandingkan sebagai 31 acara yang melibatkan sebanyak 288 pingat.
Kejohanan anjuran JBS, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) berkenaan menyaksikan penyertaan atlet-atlet daripada sembilan buah pasukan iaitu Skim Olahraga JBS Daerah Brunei Muara, Skim Olahraga JBS Daerah Tutong, Skim Olahraga JBS Daerah Temburong, Skim Olahraga JBS Daerah Belait, Politeknik Brunei, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Sukan, Sekolah Menengah Chung Hwa dan Sekolah Menengah St. Andrew.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar. Turut hadiri pada majlis tersebut ialah Pemangku Pengarah JBS, Haji Mohamad Rosfazilah bin Haji Yusly, pegawai-pegawai dari JBS serta para atlet kejohanan.
Di kejohanan itu, hadiah bagi pemenang pungutan pingat secara keseluruhan dimenangi oleh Pasukan Skim Olahraga JBS Daerah Brunei dan Muara dengan memungut pingat 12 emas, lapan perak dan empat gangsa.
Manakala di tempat kedua dengan pungutan pingat 12 emas dan empat gangsa ialah Pasukan Sekolah Sukan; serta tempat ketiga ialah Pasukan Skim Olahraga JBS Daerah Tutong dengan pungutan pingat sebanyak 10 emas, 10 perak dan tujuh gangsa.
Kejohanan Skim Olahraga dianjurkan sebagai platform untuk mengukur tahap pencapaian, perkembangan dan potensi atlet-atlet di bawah pelbagai skim sukan yang sedang dijalankan.
Di samping itu, kejohanan itu bertujuan untuk menyediakan peluang pertandingan sebenar kepada atlet sebagai persediaan menghadapi kejohanan-kejohanan yang lebih besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


