SKMM sertai Forum 5G APAC GSMA

CYBERJAYA, 17 FEB – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengorak langkah dalam memacu pembangunan 5G dengan menjadi anggota Forum 5G APAC GSMA.

Diasaskan pada 25 September 2019, Forum 5G APAC GSMA dianggotai wakil industri dan agensi kerajaan di rantau Asia Pasifik bertujuan mencari kaedah terbaik untuk memacu perkembangan dalam pelbagai segmen berkaitan 5G.

Antara wakil penting industri telekomunikasi di rantau ini yang telah menyertai Forum 5G APAC GSMA adalah KDDI dan NTT DOCOMO dari Jepun, KT, SK Telecom dan LG UPlus dari Korea Selatan.

Menurut kenyataan SKMM hari ini, penyertaan suruhanjaya itu sebagai anggota forum dimeterai ketika pertemuan Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak bersama Ketua GSMA Asia Pasifik, Julian Gorman pada 20 Januari lepas di Langkawi, Kedah.

“Melalui forum ini, SKMM berhasrat untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam menghimpunkan pelbagai industri, kerajaan persekutuan dan negeri serta pihak berkuasa tempatan untuk membangunkan secara kolektif sebuah ekosistem yang holistik dalam pengkomersilan 5G di negara ini,” kata Al-Ishsal.

Al-Ishsal berkata forum itu juga menjadi sumber rujukan untuk Malaysia menetapkan dasar dan peraturan terbaik bagi merangsang inovasi dan pengalaman berasaskan 5G yang dapat dimanfaatkan khususnya oleh pengusaha pelbagai jurusan industri dan seluruh rakyat amnya. – Bernama