Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JUN – Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam,Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Kementerian Pendidikan dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan membangunkan Sistem Kebajikan Negara (SKN) yang bakal dilancarkan pada Julai ini.
“Bermula 15 Julai ini, sistem ini akan mula dapat digunakan oleh mereka yang berhasrat untuk memohon Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan agihan wang zakat, Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) bagi asnaf fakir dan miskin.
Perkara tersebut dikongsikan oleh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kenyataannya di Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurut Yang Berhormat Dato, sistem tersebut dibangunkan bagi menyahut seruan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa titah perutusan khas Baginda berkenaan jangkitan wabak COVID-19 pada 13 April lalu, di mana Baginda menyeru kepada pihak-pihak bertanggungjawab untuk bekerjasama dalam SKN bagi kemudahan masyarakat di negara ini.
“SKN ini nanti akan dapat diakses melalui laman sesawang www.skn.gov.bn, sama ada dengan menggunakan komputer ataupun smartphones. Pada peringkat ini, permohonan secara online hanya dibukakan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang berhasrat untuk memohon skim BKB sahaja yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat, KKBS dan MUIB.

“Dalam masa yang sama, mereka yang telah berdaftar dengan JAPEM dan MUIB pada masa ini bolehlah juga menggunakan sistem berkenaan untuk mengemaskini maklumat masing-masing bermula 15 Julai ini,” jelasnya.
Manakala bantuan-bantuan lain, menurutnya, bolehlah dihadapkan seperti biasa secara manual kepada pihak JAPEM dan MUIB dan permohonan bantuan-bantuan lain berkenaan akan dapat dihadapkan secara dalam talian (online) sebaik sahaja SKN dinaiktaraf secara
berperingkat.
Sistem yang dibangunkan ini juga bertujuan untuk menyejajarkan proses pemberian bantuan-bantuan yang dikendalikan oleh agensi-agensi berkenaan.
“SKN ini juga, Insya-Allah akan meningkatkan kerjasama dalam perkongsian maklumat melalui tertubuhnya pangkalan data berpusat yang boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan program-program bantuan yang dihulurkan di negara ini dalam usaha kerajaan
untuk mengeluarkan penerima-penerima bantuan dari jurang kemiskinan sekali gus untuk memastikan bantuan yang diberikan adalah kepada mereka yang benar-benar
layak.
“Dalam masa yang sama, ianya juga dapat membantu pihak kerajaan membuat penilaian dengan lebih telus dan jelas serta memastikan tidak ada ketirisan dan keciciran terhadap bantuan-bantuan yang diagihkan,” tambah Yang Berhormat Dato.
Menurutnya juga, SKN akan mengguna pakai kriteria kebangsaan sebagai baseline bagi mensejajarkan dalam mengira dan melayakkan mereka yang berkenaan untuk menerima bantuan-bantuan yang berkenaan.
Ini termasuklah mensejajarkan tatacara penggunaan dan pengiraan Kos Minimum Keperluan Asas (KMKA) untuk menilai tahap kemiskinan setiap pemohon.
Sehubungan dengan itu, pemberigaan akan dibuat kepada penghulu dan ketua-ketua kampung di seluruh daerah bermula esok.
Memandangkan situasi wabak COVID-19 pada masa ini, tatacara menghadiri acara adalah sebagaimana yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan di mana kemasukan ke dalam dewan-dewan hendaklah terlebih dahulu mengimbas kod QR melalui aplikasi BruHealth.
Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) akan mengeluarkan surat jemputan kepada para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi maksud yang berkenaan.
Penghulu dan ketua-ketua kampung dinasihatkan untuk mengemaskini maklumat dalam aplikasi
BruHealth masing-masing sebelum menghadiri jerayawara yang akan diadakan.
Bagi Daerah Brunei dan Muara, jerayawara akan diadakan selama tiga hari bermula esok sehingga 25 Jun, di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Daerah Belait pada 30 Jun di Dewan Persidangan Kuala Belait, Daerah Tutong pada 1 Julai di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Tutong dan Daerah Temburong pula pada 2 Julai di Dewan Kemasyarakatan, Pejabat Daerah Temburong.
Kesemua jerayawara berkenaan akan bermula pukul 8:30 pagi hingga 10:30 pagi dan 1:30 petang hingga 3:30 petang.
“Adalah diharapkan semua peng-hulu dan ketua kampung datang mengikut tarikh dan masa yang telah ditetapkan di dalam surat jemputan yang dikeluarkan oleh pihak KHEDN,” kata Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew.