Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    SKN sejajar pemberian bantuan, mudahkan permohonan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MAC – Strategi pembasmian kemiskinan ditangani secara holistik, bersepadu dan senegara melalui Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).

    Ahli-ahlinya terdiri daripada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Pendidikan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Menteri Kewangan dan Ekonomi dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan).

    Pelan tindakan itu telah diperkenankan pada 2020 dan mengandungi strategi-strategi pekerjaan, keusahawanan, latihan kemahiran, pendidikan, minda, perumahan, pengangkutan dan penjagaan anak.

    Inisiatif berkaitan yang dilaksanakan oleh setiap kementerian dan agensi yang akan mendukung strategi-strategi berkenaan disenaraikan bersama dengan petunjuk-petunjuk prestasi utamanya (KPI).

    Dalam hubungan itu, Sistem Kebajikan Negara (SKN) telah direka bentuk khusus bersandarkan strategi-strategi yang diketengahkan dan ia bukan sahaja platform untuk menyejajarkan proses pemberian bantuan dari pelbagai agensi bagi memudahkan proses permohonan bantuan secara bersistematik supaya pemberian bantuan diberikan kepada orang yang benar-benar layak dan tepat pada masa tetapi ia juga membantu pihak kerajaan menganalisis data terkini untuk mengetahui situasi penerima bantuan.

    Penjelasan tambahan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad (gambar) bagi menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim dan Yang Berhormat Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Momin mengenai SKN khususnya cadangan untuk menyatukan semua pengagihan bantuan supaya ia dapat ditangani secara menyeluruh dan bersepadu serta mengenal pasti pelan tindakan yang bersesuaian bagi
    membantu penerima bantuan untuk keluar dari kitaran kemiskinan.

    “Laporan-laporan SKN sememangnya dikongsikan kepada ahli-ahli MKIS dan kementerian-kementerian yang berkenaan untuk tindakan,” tambahnya dalam perbahasan MMN yang bersidang di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

    Beliau menerangkan lanjut bahawa inisiatif-inisiatif di bawah strategi pekerjaan, strategi keusahawanan dan strategi minda dalam Pelan Tindakan Pembasmian Kemiskinan termasuk memberikan taklimat dan latihan yang bersesuaian untuk memupuk minat, mendukung usaha dan meningkatkan kebolehpasaran penerima bantuan dalam mendapatkan pekerjaan atau pun berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

    Yang Berhormat Dato menerangkan lanjut bahawa program pengupayaan yang telah dan terus dilaksanakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dengan kerjasama beberapa rakan strategik KKBS adalah Program Pekerjaan, Program Keusahawanan dan Program Kemahiran dan Latihan.

    Melalui Program Pekerjaan, sejak 2020 hingga kini, seramai 430 orang daripada golongan susah telah berjaya dibantu untuk mendapatkan pekerjaan. Manakala itu, melalui Program Keusahawanan, penerima-penerima bantun telah disalurkan untuk mengikuti Program Berniaga Dari Rumah, Program BIBD SEED dan Program Bantuan Keusahawanan.

    Sementara itu, melalui Program Kemahiran dan Latihan, penerima-penerima bantuan dan tanggungan mereka telah diaturkan untuk menyertai Micro Business Bootcamp di bawah DARe, Program Komuniti, Program Inovasi Belia Berwawasan dan Program Bengkel Pertanian.

    Seterusnya, Yang Berhormat Dato menjelaskan, bantuan-bantuan yang terdapat dalam SKN iaitu Bantuan Kebajikan Bulanan (BKB) daripada JAPEM, Bantuan Asnaf Fakir dan Miskin (AFM) daripada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Bantuan Keperluan Persekolahan Tahunan (BKPT) yang baru diintegrasikan dengan melibatkan agensi dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yayasan, semuanya menerusi proses yang diselaraskan melalui SKN.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda