Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 JULAI – Model terbaharu Skoda iaitu Skoda Kamiq secara rasmi memasuki segmen SUV bandar yang berkembang pesat di Brunei Darussalam dengan majlis pelancaran yang diadakan oleh Maju Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Volkswagen dan Skoda di Brunei Darussalam, semalam.
Pelancarannya di The Mall, Gadong telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Pengerusi Maju Motors, Yang Amat Mulia Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Ahmad.
Terdahulu, acara didahului dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah Urusan Maju Motors, Chan Key Hong diikuti dengan taklimat ringkas mengenai Skoda Kamiq oleh Pengarah Eksekutif, Awangku Mohammad Azri bin Pengiran Ratna Wijaya Brigedier Jeneral (B) Pengiran Haji Hasnan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Kamiq menggabungkan kelebihan khas segmen SUV tersebut seperti peningkatan jarak tanah dan kedudukan tempat duduk dengan kelincahan sebuah kereta kompak dan reka bentuk emotif Skoda yang akan menarik perhatian semua orang pada pandangan pertama.
Dengan sistem bantuan dan infotainmen terkini, Kamiq baharu memenuhi keperluan pelanggan berorientasi keluarga dan gaya hidup dengan gaya Skoda yang sebenar.
Dikuasakan teknologi canggih dan enjin 1.5TSI yang cekap bahan bakar dengan kotak gear DSG tujuh kelajuan, pengalaman pemanduannya sangat luar biasa, para pemandu pasti akan mempunyai perjalanan yang sangat menyeronokkan dan lancar setiap masa.
Perkataan Kamiq berasal daripada bahasa orang Inuit yang tinggal di utara Kanada dan Greenland yang menerangkan sesuatu yang sesuai dengan anda.
Eksekutif Pemasaran Maju Motors Sdn Bhd, Safwan Sabtu dipetik berkata, “Dengan gabungan reka bentuk yang berani, enjin, kotak gear, dalaman yang premium, sistem bantuan dan sistem keselamatan dan ciri-ciri Simply Clever yang ditawarkan di Skoda Kamiq, kami yakin kereta ini sesuai untuk semua orang.”
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai untuk datang ke bilik pameran mereka bagi menerokai Skoda Kamiq dan pandu uji.