Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Skop utama perkasa keusahawanan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Kumpulan Pengasas Permata Hati melalui Projek Mendekati Masyarakat di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30, 2023 pagi tadi telah melancarkan Logo Usahawan Permata Hati pada majlis yang berlangsung di Dewan Silaturahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

    Pelancarannya disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Fauziah binti Haji Mohd Salleh selaku tetamu kehormat.

    Logo berkenaan merupakan salah satu skop utama bagi Projek Pemerkasaan Keusahawanan Permata Hati yang dilakar dengan berasaskan kepada maklumat daripada agensi-agensi berkepentingan yang menyatakan aktiviti keusahawanan ataupun perniagaan mempunyai potensi untuk mengeluarkan sebahagian golongan yang memerlukan dari kancah kemiskinan, apatah lagi bagi mereka yang mempunyai akses terhad kepada peluang-peluang pekerjaan.

    Apa yang dihasratkan melalui projek berkenaan ialah untuk meningkatkan kebolehpasaran perniagaan bagi golongan berkenaan melalui penjenamaan dan platform pemasaran yang meluas.

    Di samping itu, ia juga memperkukuhkan kebolehcapaian mereka kepada program-program dukungan seperti bantuan modal perniagaan dan latihan kemahiran.

    Dayang Fauziah semasa melancarkan logo Permata Hati. – GAMBAR ROKIAH MAHMUD
    Dayang Fauziah semasa menghadiri majlis pelancaran Logo Usahawan Permata Hati. – GAMBAR ROKIAH MAHMUD

    Kumpulan sasaran bagi projek pemerkasaan berkenaan ialah pengusaha-pengusaha wanita daripada golongan yang memerlukan.

    Ketua Kumpulan Pengasas Permata Hati, Awang Abdul Salam bin Haji Abdul Wahab selaku pengerusi majlis berkata, kumpulan sasaran berkenaan dikhususkan dengan panggilan Permata Hati kerana kedudukan mereka dalam menanai tanggungjawab ke arah meningkatkan taraf kehidupan demi membantu keluarga dan anak-anak mereka.

    Keutamaan juga diberikan kepada Permata Hati yang sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan mikro dan kecil (PMK) atau merancang untuk menjalankan aktiviti keusahawanan bagi menambah pendapatan bulanan seisi keluarga dan mereka ini dikenali sebagai usahawan Permata Hati.

    Beliau berkata, Logo Usahawan Permata Hati yang telah dilancarkan adalah hasil ciptaan kumpulan itu sendiri yang akan berfungsi sebagai satu strategi penjenamaan yang terjamin menjurus kepada unsur-unsur kebolehpercayaan di mata pengguna dan orang ramai ke atas barangan, produk dan perkhidmatan yang dikeluarkan dan diberikan oleh usahawan Permata Hati.

    Pemasaran produk dan perkhidmatan yang menggunakan logo itu diharap akan memupuk rasa tanggungjawab sosial dalam diri pengguna-pengguna untuk membeli sambil beramal demi mendokong usaha murni usahawan berkenaan untuk mandiri, tambah Awang Adbul Salam.

    Bersempena majlis pelancaran logo itu juga, aneka jualan juga dianjurkan dengan menjemput sebahagian Usahawan Permata Hati untuk menjual produk dan barangan mereka. Aktiviti berkenaan diadakan selama dua hari hingga esok di Kawasan Letak Kereta, Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...