HONG KONG, 8 OKT – Lukisan Cina dalam bentuk skrol yang berusia 700 tahun dari Dinasti Yuan berjaya dijual pada harga AS$41.8 juta pada majlis lelongan Sotheby di Hong Kong.
Skrol berukuran 6.6 kaki, berjudul Five Drunken Princes Returning On Horseback itu dihasilkan oleh seorang pelukis terkenal China yang juga merupakan pegawai kerajaan, Ren Renfa.
Lukisan tersebut menggambarkan putera-putera yang menunggang kuda bersama-sama empat orang pembantunya.
Salah seorang putera dalam lukisan itu merupakan Li Longji, yang kemudiannya menjadi Maharaja Xuanzong yang paling lama memerintah Dinasti Tang.
Pada 1922, skrol itu dibawa keluar dari Kota Larangan oleh maharaja terakhir China, Pu Yi susulan kejatuhan Dinasti Qing.
Karya seni itu pada mulanya dianggarkan dijual antara sekitar AS$10 hingga AS$15.5 juta. Sebilangan besar 21 lukisan Ren dipamerkan di muzium atau dimiliki oleh pengumpul peribadi. – AP