Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skru besi tersekat dalam hidung punca bau busuk

    CHINA, 8 OKT – Seorang budak lelaki Cina berusia 7 tahun yang mengadu tentang bau busuk sejak dua tahun telah mendapati skru besi tersekat di lubang hidung kirinya.

    Menurut Oddity Central, budak lelaki dari Jiaozuo, Wilayah Henan China itu telah memberitahu ibu bapanya, dia terhidu sesuatu yang busuk selama beberapa tahun, tetapi mereka tidak dapat mengenal pasti puncanya.

    Pada mulanya mereka tidak mempedulikan aduan anaknya malahan dianggap sebagai mereka cerita.

    Bagaimanapun, aduannya yang makin kerap dalam beberapa minggu kebelakangan ini telah mendorong mereka untuk membawanya berjumpa doktor.

    Pemeriksaan lubang hidung budak lelaki itu mendedahkan objek berwarna hitam di rongga hidungnya, penemuan yang disahkan oleh imbasan CT di kepalanya.

    Objek misteri yang terlekat di dalam hidung budak itu tidak dapat dikenal pasti, dan ia terletak amat tinggi di rongga hidungnya sehingga doktor bimbang tentang kemungkinan akan menyebabkan kerosakan serius dalam usaha untuk mengeluarkannya.

    Namun demikian, membiarkannya di dalam hidung budak lelaki itu juga bukan pilihan, kerana ia kelihatan dikelilingi oleh nanah disebabkan oleh jangkitan. Seorang pakar ENT kemudiannya memutuskan untuk membedah budak itu selepas mendapat persetujuan daripada ibu bapanya.

    Doktor dilaporkan mencuba tiga alat berbeza sebelum akhirnya berjaya mengeluarkan objek misteri berwarna hitam dari hidung budak itu. Ia dilitupi oleh beberapa lapisan rembesan hidung dan nanah kering sehinggakan ia sukar untuk dikenal pasti.

    Akan tetapi selepas membersihkannya, doktor telah mendapati objek tersebut terdiri daripada skru besi.

    Budak lelaki berusia 7 tahun itu kini telah pulih sepenuhnya. – Agensi

    Skru besi yang terlekat dalam hidung budak tersebut. – Agensi
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda