Oleh Fadhil Yunus
BEKASI, INDONESIA, 6 JULAI – Pasukan kebangsaan bawah 19 tahun (B-19) Brunei Darussalam tumbang 4-0 kepada Vietnam dalam Kejohanan Lelaki B-19 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Patriot Candrabhanga di Bekasi, Indonesia kelmarin.
Keputusan itu bermakna Brunei kekal di tangga terbawah Kumpulan A dengan tiga kekalahan berturut-turut tanpa meraih sebarang mata perlawanan.
Vietnam mendahului pada minit ke-12 selepas Ha Chau Pi merembat bola ke dalam jaring selepas sepakan sudut yang diambil oleh Thai Van Thao.
Young Golden Star Warriors menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-33 selepas kapten pasukan Dang Tuan Phong menanduk bola ke gawang Brunei, ketika Thai Van mendapat satu lagi assist.
Penyerang B-19 Vietnam, Nguyen Gian Tan menyumbat gol ketiga pasukannya pada minit ke-59 sebelum pemain tengah, Nguyen Duc Viet menghasilkan jaringan yang menakjubkan tiga minit kemudian.
Sementara itu, sepak mula pada perlawanan lebih awal menyaksikan Myanmar menewaskan Filipina 3-1 di Stadium Madya Senayan.
Skuad Tabuan Muda akan meneruskan kempen menentang Thailand esok sebelum menamatkan peringkat kumpulan menentang Filipina dua hari kemudian.
