Oleh Fadhil Yunus –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Pasukan bola sepak bawah 20 tahun (B-20) Brunei Darussalam tewas 15-0 kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-20 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025, yang berlangsung di Stadium Buriram City, Thailand, baru-baru ini.
Pemain tengah Iraq, Mustafa Nawaf dan Aymen Luay, menyerlah dalam perlawanan tersebut dengan masing-masing mencetak hatrik.
Mustafa mencipta hatrik pada separuh masa pertama, sebelum Aymen menambah tiga gol lagi selepas rehat, sekali gus berkongsi gelaran bintang perlawanan.
Sementara itu, Sidid Haji, Karrar Jaafar dan Amoori Faisal masing-masing menjaringkan dua gol, dengan Halgwrd Qays serta Ahmed Jasim turut mencatat nama sebagai penjaring.
Pemain pertahanan Brunei B-20, Danish Firdaus, mengalami nasib malang apabila menyumbat gol sendiri, menambah lagi tekanan pasukan yang sudah ketinggalan.
Skuad negara akan berdepan Thailand dalam perlawanan kedua esok.