PHU THO, 20 MEI – Pencapaian skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) Malaysia mara sehingga ke peringkat separuh akhir Sukan SEA Ke-31, tanpa diperkuat pemain lebih umur sesuatu yang boleh dibanggakan, kata pemain pertahanan Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili.
Malaysia tewas 0-1 kepada juara bertahan Vietnam, pada pertembungan separuh akhir di Stadium Viet Tri di Wilayah Phu Tho semalam, sekaligus meranapkan impian menamatkan kemarau 11 tahun merangkul pingat emas temasya sukan dwitahunan itu.
Pada aksi separuh akhir semalam, penyerang Nguyen Tien Linh menjadi wira Vietnam selepas menanduk masuk bola hasil sepakan percuma pada minit ke-111, sekaligus membawa pasukannya ke final.
Skuad B-23 kebangsaan bimbingan Brad Maloney, akan bertemu Indonesia dalam aksi penentuan pingat gangsa di Stadium Nasional My Dinh di Hanoi Ahad ini. – Bernama
