Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JUN – Pasukan bola sepak Brunei bawah 23 tahun kelmarin meninggalkan negara bagi menjalani kem latihan intensif selama 10 hari di Arab Saudi mulai hari ini hingga 21 Jun.
Tabuan Muda kini mempertingkatkan persiapan mereka menjelang Kejohanan Bawah 23 Tahun Persekutuan Bola Sepak Asia (AFF) akan datang pada Ogos dan Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Qatar 2024 pada September.
Skuad seramai 22 anggota itu menampilkan empat penjaga gol iaitu Muhd Noorhaswan Aiman bin Noor Hassan; Muhammad Jefri Syafiq bin Ishak; Mohammad Riyan Aiman bin Jali; dan Muhammad Danish Aiman bin Mardianni.
Sementara itu, enam pemain pilihan di bahagian pertahanan termasuk Muhd Khoirunnaas bin Khalid; Muhammad Nazhan bin Zulkifle; Muhammad Salleh bin Emzah; Muhd Danish Danial Alfian; Amirul Aizad bin Haji Zaidi; dan Mohammad Hirman Haji Abdul Latip.
Manakala, pasukan itu turut dilengkapkan dengan lapan pemain tengah iaitu Muhd Alin Syahmi Hossaini; Muhd Syafiq Safiuddin bin Abdul Shariff; Mohamad Hazwan bin Sabry; Muhd Khairan Zikry bin Muhd Zulkhairi; Muhammad Haziq Naqiuddin bin Syamra; Muhd Syafiq Abdullah Mohd Ghazali; Muhd Qusyairi Haiqal Arabimulfhasal; dan Muhd Syaherrul Affendy Muhd Syahmirul Nizam.

Seterusnya, empat pemain di bahagian serangan terdiri daripada Pengiran Abdul Basith Murtadha Billah; Imam Mahdi bin Suhaimi; Muhammad Badrun Yassar bin Muhd Bakri; dan Muhammad Bazli bin Aminuddin.
Presiden Persatuan Bola Sepak Negara Brunei Darussalam (FABD), Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan menghantar delegasi itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung FABD, Mohammad Shahnon bin Haji Mohammad Salleh; Pengarah Teknikal, Paul Munster; dan Ketua Jurulatih Pasukan Kebangsaan, Mario Rivera.
Paul Munster turut menasihati pemain muda supaya kekal profesional dan berdisiplin semasa mewakili negara serta bekerja keras sepanjang berada di sana.
Mengetuai rombongan ialah Pengiran Haji Mohd Waslimin bin Pengiran Setia Jaya Pengiran Haji Abdul Momin sebagai pengurus pasukan dengan Haji Adee Suhardee bin Haji Muhidin sebagai penolong pengurus pasukan.
Pasukan itu juga akan dibimbing oleh Ketua Jurulatih yang baru dilantik, Atsushi Hanita dengan Awang Faizalani Abdul Ghani sebagai penolong ketua jurulatih.
Senarai pegawai juga termasuk Ameer Aziz-Hakim Abdul Lani sebagai jurulatih kecergasan; Awangku Omar Nur Aqammaddin bin Pengiran Haji Sallehuddin sebagai jurulatih penjaga gol; Roney bin Morney sebagai kitman; Mohammad Herdy bin Panjang sebagai ahli perubatan; dan Mohd Hazim bin Hamzah sebagai pengamal media.

