Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Pasukan bolasepak kebangsaan Brunei Darussalam bawah 16 tahun (B16) berlepas ke Jakarta, Indonesia, hari ini, untuk mengambil bahagian dalam kejohanan Piala Antarabangsa Garuda II 2022, yang akan berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai di Padang Latihan ASIOP.
Persatuan Bolasepak Brunei Darussalam (FABD) mendaftarkan dua pasukan iaitu FABD1 dan FABD2 untuk menyertai pertandingan tersebut.
Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat belayar kepada pasukan-pasukan tersebut ialah Timbalan Presiden FABD, Haji Salleh Bostaman bin Haji Zainal Abidin.
Perlawanan bola sepak belia antarabangsa tersebut bertujuan untuk mempersiapkan pasukan Tabuan Muda sebelum Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) B16 pada Ogos nanti.
Beberapa buah negara di rantau ASEAN termasuk Brunei Darussalam, Filipina, Malaysia dan Singapura serta pasukan akademi yang dikenali dari Indonesia dalam kumpulan umur bawah 12 tahun dan bawah 17 tahun akan mengambil bahagian.
Perlawanan tersebut akan membantu menyerlahkan potensi bakat muda dalam kala-ngan pemain Asia Tenggara dan membuktikan kualiti mereka di peringkat serantau.
Pertandingan berkenaan adalah perlawanan lanjutan yang pernah diadakan di Bandung pada 2015.
Semasa mula diperkenalkan, perlawanan itu hanya dihadiri oleh pasukan akademi dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Selain itu, pihak penganjur berharap agar kejohanan tersebut dapat diteruskan lagi pada tahun depan dengan lebih banyak penyertaan dari seluruh Asia, Eropah dan Amerika.
