Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skuad badminton M’sia gagal pertahan emas

    HANOI, 20 MEI – Pemain muda badminton Malaysia gagal mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki dan wanita pada Sukan SEA, selepas cabaran mereka berakhir pada peringkat suku akhir di Gimnasium Bac Giang, di sini kelmarin.

    Lee Shun Yang yang berkedudukan 276 dunia, ternyata bukan lawan pemain ke-18 dunia Kunlavut Vitidsam dari Thailand, apabila tewas 11-21, 11-21 dalam masa 39 minit, dalam acara perseorangan lelaki.

    Cerita sama berlaku pada perseorangan wanita, apabila Siti Nurshuhaini Azman (ke-237 dunia) tewas kepada pemain ke-10 dunia Pornpawee Chochuwong dari Thailand.

    Bagaimanapun, harapan pingat masih ada bagi acara beregu campuran Malaysia apabila dua wakil Malaysia layak ke separuh akhir.

    Pasangan pilihan kedua, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See mengetepikan cabaran Chaloempon Charoenkitamorn-Laksika Kanlaha dari Thailand 21-8, 21-16, dan akan berhadapan pasangan pilihan ke tiga, Adnan Maulana-Mychelle Crhystine dari Indonesia.

    Pasangan pilihan keempat Chen Tang Jie-Peck Yen Wei juga menempah tempat ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan Singapura Hee Yong Kai-Tan Wei Han, 21-19, 21-19.

    Peluang juga masih terbuka buat Malaysia dalam acara beregu wanita, apabila pasangan Cheah Yee See-Cheng Su Hui mengalahkan Airah Albo-Thea Pomar dari Filipina 21-13, 21-11.

    Menanti mereka di separuh akhir, pasangan dari Thailand Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda