Friday, November 15, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skuad berbasikal trek Malaysia uji jentera baharu

    KUALA LUMPUR, 18 JULAI – Skuad berbasikal trek Malaysia mendapat suntikan dalam perjuangan membutirkan emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024 apabila mendapat basikal baharu WX-R Vorteq versi terkini yang dibawa khas dari United Kingdom (UK).

    Tiga pelumba Malaysia – Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri – kini sedang membiasakan diri dengan jentera yang telah dinaik taraf di Velodrom Illes Balears di Mallorca, Sepanyol.

    Juara dunia keirin 2017, Mohd Azizulhasni yang membuat penampilan kelimanya di pentas Olimpik berkata ketiga-tiga mereka berada dalam keadaan terbaik dan berazam untuk meraih kejayaan bersama jentera terbaru mereka itu.

    “Kami sangat bersyukur kerana dapat menggunakan jentera baharu di Mallorca. Secara peribadi setelah memenangi gangsa di Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020, saya menyasarkan untuk mencapai kemuncak.

    “Walaupun akan ada tentangan sengit daripada pelumba dari Belanda, Jepun, Australia dan Great Britain, saya percaya saya setanding dengan mereka, terutamanya sekarang kita dilengkapi dengan versi jentera yang dinaik taraf.

    “Saya mahu membuktikan sesuatu dan membalas kepercayaan diberikan kepada saya selama ini dengan membawa pulang pingat emas pertama Olimpik untuk Malaysia,” katanya dalam catatan menerusi media sosial Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini. – Bernama

    Mohd Azizulhasni Awang (tiga,kanan) bergambar bersama basikal model WX-R Vortex pada Majlis Pelancaran Team Mas 50 Hari Menjelang Sukan Olimpik 2024 di MSN Malaysia pada 6 Jun. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda