Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mac – Skuad boling padang Brunei Darussalam akan bertolak ke Australia bagi mewakili negara di Kejohanan Sukan Negara-negara Komanwel di Gold Coast di wilayah Queensland, Australia bermula 4 hingga 15 April ini.
Skuad boling padang negara yang disertai seramai lapan pemain terdiri daripada lima atlet lelaki dan tiga atlet perempuan diketuai oleh chief de mission bersama pengurus pasukan, jurulatih dan seorang pegawai Jabatan Belia dan Sukan itu akan bertolak pada 1 April ini.
Antara perlawanan yang bakal disertai oleh skuad negara ialah Acara Perseorangan Lelaki yang akan menampilkan Awang Rahman bin Haji Omar, Acara Berpasangan Lelaki disertai oleh Ampuan Ahad bin Ampuan Kasim (lead) dan Pengiran Haji Tengah bin Pengiran Haji Tajudin (skip), Manakala dalam Acara Tiga Sepasukan Lelaki pula akan menampilkan Haji Naim bin Brahim (lead), Awang Israt Amiruddin bin Haji Abdul Ghani (second) dan Awang Rahman (skip) dan Acara Empat Sepasukan Lelaki akan disertai oleh Ampuan Ahad (lead), Haji Naim (second), Pengiran Haji Tengah (third) dan Awang Israt Amiruddin (skip).
Sementara dalam Acara Perseorangan Wanita pula disertai oleh Hajah Amalia dan satu lagi kategori yang akan melibatkan pemain wanita negara adalah Acara Berpasangan Wanita yang akan disertai oleh Hajah Suhana (lead) dan Hajah Ajijah (skip).
Sehubungan itu, Media Permata baru-baru ini berpeluang membuat pendekatan bersama jurulatih pasukan boling padang kebangsaan, Haji Lokman yang ketika ditemu bual menegaskan bahawa pasukan boling padang negara telah pun mengadakan latihan semenjak sebulan yang lalu selepas penglibatan skuad negara di Sukan Asia Tenggara di Kuala Lumpur tahun lalu.

“Tiga pemain wanita dan lima pemain lelaki akan menjadi sandaran pingat pada kemuncak Sukan Negara-Negara Komanwel dan sehubungan dengan itu kami komited meneruskan latihan pada waktu pagi dan petang sebelum bertolak ke Australia dan akan berpeluang mencuba padang perlawanan pada hari kedua di negara tuan rumah nanti,” ujarnya.
Apabila ditanya mengenai cabaran, katanya beliau percaya para pemain akan memberikan tentangan hebat kepada negara-negara gergasi dalam sukan ini antarannya Australia, Scotland dan Malaysia.
“Antara cabaran terbesar adalah jenis padang yang digunakan di sana berbanding padang tiruan yang digunakan sepenuhnya di negara ini kerana putaran bola akan menjadi lebih laju berbanding di padang kita,” tambahnya lagi.
Beliau juga dalam pada itu yakin para pemain telah pun mempersiapkan diri bagi menempuh cabaran bagi penyertaan sukan tersebut dan berharap pada pemain akan memberikan semangat juang yang tinggi dalam usaha untuk meraih kejayaan bersama pasukan yang akan dihadapi nanti.