Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skuad hoki b-21 uji taring di China

    KUALA LUMPUR, 26 Sept – Skuad hoki lelaki bawah-21 tahun Malaysia bakal mengharungi tiga perlawanan persahabatan di Dalian, China, bermula esok sebagai persediaan menghadapi Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor 2018 yang akan berlangsung mulai 6 hingga 13 Oktober ini.

    Jurulatihnya, Nor Saiful Zaini Nasiruddin menyifatkan tiga aksi menentang pasukan wilayah Dalian itu sebagai medan untuk membentuk keserasian pemain.

    “Pada pandangan saya perlawanan persahabatan yang diatur ini sangat baik kerana ia berfungsi sebagai platform untuk memastikan keserasian antara pemain bertambah dan berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau juga menuntut pemainnya lebih berhati-hati ketika siri persahabatan itu untuk mengelakkan risiko sebarang kecederaan serius.

    “Cuma apa yang saya harapkan daripada perlawanan persahabatan ini agar pemain tidak terlalu keletihan dan bebas kecederaan untuk berada dalam keadaan terbaik ketika saingan Piala Sultan Johor membuka tirai nanti,” katanya.

    Tiga aksi itu dijadualkan pada pukul 3 petang waktu Malaysia esok dan Jumaat ini, manakala aksi pada Sabtu akan diadakan pada jam 9:30 pagi.

    Selain Malaysia, lima lagi pasukan yang akan beraksi pada Kejohanan Piala Sultan Johor adalah juara bertahan Australia, Britain, India, Jepun dan New Zealand.

    Skuad negara muncul juara edisi sulung pada 2011 selepas menewaskan Australia pada perlawanan akhir. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda