KUALA LUMPUR, 24 MEI – Skuad hoki remaja lelaki Malaysia memulakan kempen Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 dengan bergaya selepas membelasah Uzbekistan 8-1 pada aksi pembukaan Kumpulan B di Salalah, Oman.
Pada aksi di Kompleks Belia Sultan Qaboos, skuad muda negara bimbingan Muhamad Amin Rahim mudah mendahului 3-0 di suku pertama menerusi penyudah pukulan sudut penalti T. Perabu pada minit ketujuh dan kesembilan diikuti gol ketiga hasil jaringan padang Alfarico Lance Liau Jr pada minit ke-12.
Perabu menikmati malam cemerlangnya dengan mencipta hatrik apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-18 untuk gol keempat Malaysia sebelum Shahmie Irfan Suhaimi dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar menjadikan kedudukan 6-0 selepas masing-masing meledak gol padang pada minit ke-26 dan pukulan sudut penalti seminit kemudian.
Dua jaringan padang oleh Mughni Mohamad Kamal dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari masing-masing pada suku terakhir permainan menambah derita pasukan lawan sebelum mereka berjaya memperoleh gol sagu hati menerusi Shavkatjon Kakhramonov lima minit sebelum perlawanan tamat.
Mengulas mengenai kejayaan 8-1 diraih pasukan remaja Malaysia, Muhamad Amin berkata anak buahnya berjaya tampil dengan aksi yang baik untuk mengutip tiga mata pertama dan berharap semua pemain terus kekal fokus menjelang aksi kedua menentang Bangladesh.
“Esok (hari ini) kami berehat dan kami akan menggunakannya untuk menganalisis kelemahan dan kekuatan pasukan, selain mengkaji kelemahan dan kekuatan pasukan Bangladesh sebagai persediaan kami untuk bertemu mereka pada aksi kedua,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM). – Bernama


