Friday, March 21, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Skuad Indonesia bernilai RM177 juta, Harimau Malaya RM34.6 juta

    Skuad Bola Sepak Kebangsaan Republik Indonesia (kiri) dan Skuad Bola Sepak Kebangsaan Malaysia (kanan). – BH Online

    KUALA LUMPUR, 20 MAC – Status pasukan bola sepak termahal di rantau Asia Tenggara ketika ini dipegang Indonesia dengan skuad Garuda memiliki nilai pasaran keseluruhan pemain mereka berjumlah €36.53 juta (RM177 juta).

    Indonesia jauh meninggalkan pesaing lain termasuk Thailand yang menjadi pasukan kedua termahal dengan nilai pasaran pemain mereka berjumlah RM42.2 juta diikuti Malaysia (RM34.6 juta), Vietnam (RM29.4 juta) dan Filipina (RM24.4 juta).

    Berdasarkan nilai pasaran pemain di laman transfermarkt.com, jumlah nilai pasaran keseluruhan skuad kendalian Patrick Kluivert itu dipengaruhi ‘tanda harga’ tinggi yang dimiliki pemain warisan mereka.

    Tonggak pertahanan skuad Garuda, Mees Hilgers muncul pemain termahal di rantau Asia Tenggara dengan nilai pasaran berjumlah RM43.5 juta.

    Malah, nilai pasaran pemain berusia 23 tahun itu sahaja sudah mengatasi nilai pasaran bagi skuad Asia Tenggara yang lain termasuk Thailand, Malaysia dan Vietnam.

    Skuad Malaysia bernilai lebih RM34 juta merangkumi tanda harga 27 pemain yang dipanggil ketua jurulatih, Peter Cklamovski bagi menghadapi aksi pertama Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, Selasa ini.

    Tonggak pertahanan, Dion Cools kekal sebagai pemain termahal Malaysia dengan bintang Buriram United itu memiliki nilai pasaran berjumlah RM3.87 juta.

    Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi di kedudukan kedua dengan nilai pasaran RM2.9 juta disusuli Matthew Davies (RM2.17 juta). Manakala, Faisal Halim yang kembali bersama Harimau Malaya memegang tanda harga RM1.69 juta.

    Faisal hampir setahun tersisih daripada skuad kebangsaan selepas menjadi mangsa simbah asid pada awal Mei tahun lalu dengan dia bergelut untuk mendapatkan kembali prestasi terbaiknya.

    Tonggak paling berusia, Natxo Insa dan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh berada di tangga paling bawah nilai pasaran pemain skuad Harimau Malaya kali ini dengan tanda harga RM363,000.

    Selepas senarai nama pemain diumumkan minggu lalu, nama Sumareh menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air dengan ada yang mempertikai pemilihan pemain berusia 30 tahun itu kerana dia kurang mendapat minit permainan bersama JDT.

    Jumlah nilai pasaran skuad Harimau Malaya bagaimanapun boleh meningkat sekiranya pemain warisan baharu dapat diserap ke dalam skuad terbabit.

    Semalam, skuad kebangsaan yang kini menjalani kem latihan di Johor menerima ketibaan dua pemain warisan baharu iaitu perancang tengah kelab Portimonese SC, Hector Hevel dan pemain pertahanan CD Tenerife B, Gabriel Palmero.

    Semakan di laman transfermarkt.com mendapati Hevel memiliki nilai pasaran RM2.17 juta, manakala Palmero yang berusia 23 tahun hanya memegang tanda harga RM241,000. – BH Online

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda